Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, 24 November 2011

7 SUNNAH BAGINDA UNTUK RUMAHTANGGA YANG BERMAKNA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Membina keluarga bahagia, sakinah mawaddah warahmah adalah hajat setiap muslim mukmin yang hidup di dunia ini. Tidak ada sesiapa yang suka rumah tangganya hidup porak peranda dan huru-hara di dalamnya. Tetapi berapa ramaikah yang berjaya mencapai impin yang mulia ini? Di hari pertama akad-nikah dilafaskan dan diharapkan berkekalan hingga ke akhir hayat tetapi berlaku badai dipertengahan jalan, berpisah dan bercerai !

Kenapa boleh berlaku masaalah ini? Kenapa tidak ada tolak ansur, timbang rasa, saling faham memahami, dan kesabaran di kedua-dua belah pihak? Mungkin ini berpunca asas pemilihan bukan kerana Allah SWT, atau bukan kerana asas iman dan takwa tetapi pemilihan lebih cenderung kepada faktor kecantikan atau tampan, kelulusan, pangkat kedudukan, harta, keturunan atau nafsu berahi semata-mata. Manusia akan hilang pertimbangan apabila hati dah jatuh cinta, biarpun pasangannya kurang beragama , sentiasa melakukan maksiat dan tidak menutup aurat tetapi semunya tidak diambil kira sebagai ukuran utama di dalam pemilihan teman hidup.

Sahabat yang dimuliakan,

Untuk melahirkan keluarga bahagia sakinah mawaddah warahmah terdapat tujuh (7) amalan sunah yang di amalkan oleh Rasulullha SAW, sahabat-sahabat baginda dan orang-orang mukmin yang ingin mencari keredaan Allah SWT dalam hidup berkeluarga. Sekiranya suami dan isteri dan anak-anak di didik dan mengamalkan tujuh perkara tersebut, rumah tangga yang dibina akan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan akan melahirkan ketenangan dan rahmat di dalam rumah tangga tersebut.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Bertakwa kepada Allah SWT.

2. Zikrul maut

3. Tilawah al-Quran

4. Solat dan doa

5. Zikir dan beristighfar

6. Sedekah

7. Kasih sayang .

Huraiannya :

1. Bertakwa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya :"Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai apa yang telah mereka kerjakan." (Surah al-A'raf ayat 96)

Imam al-Ghazali menyatakan bahawa takwa itu takut kepada Allah SWT, mengikut apa yang diperintah oleh Allah SWT dan menjauhkan segala larangan-Nya. Insan yang bertakwa akan bermuraqabah kepada Allah SWT iaitu merasai bahawa Dia sentiasa Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Jika di tanamkan konsep tauhid dan di amalkan oleh semua ahli keluarga samaada suami, isteri, ibu bapa , anak-anak dan bermuraqabah kepada Allah SWT setiap masa dan merasai bahawa Allah sentiasa Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui maka aman keluarga tersebut, hati akan tenang, jiwa akan tenteram dan kasih sayang di antara ahli keluarga akan terbina. Setiap sesuatu akan dibuat dan tinggalkan semata-mata kerana Allah SWT.

Di dalam ayat di atas adalah jaminan Allah SWT bahawa sesiapa yang beriman dan bertakwa kepada-Nya maka Dia akan 'melimpahkan barakah dari langit dan bumi' tidak ada kenikmatan dan kebahagiaan sebenarnya melainkan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'barakah' ?

Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :-

هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.

Ertinya : "Iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah azza wa jalla."

2. Zikrul maut.

Maksud zikrul maut adalah mengingati kematian.

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)."

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Kita sering mendengar berita tentang kematian , tetapi sejauh mana kita mengambil iktibar di atas peristiwa yang berlaku keatas keluarga kita , sahabat handai , jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sejauhmana kita menceritakan pada isteri dan anak-anak akan azab kubur yang dahsyat bagi sesiapa yang melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.? Lahirkan rasa takut dan insaf kepada jiwa ahli keluarga kita mengenai kemurkaan Allah SWT dan azab kubur dan buangkan perasaan takut kepada hantu, syaitan dan tanah perkuburan.

Renunglanlah buat keinsafan kita bahawa kematian berlaku di mana-mana sahaja , dan berlaku dalam berbagai bentuk . Untuk melahirkan keluarga bahagia perlulah menceritakan kepada isteri dan anak-anak akan kematian ini, pergilah ziarah kubur dan iringilah jenazah saudara mara atau sahabat-handai yang meninggal dunia ke kuburan untuk melahirkan rasa insaf dan sedar bahawa setiap manusia akan mati samaada lambat atau cepat. Perlulah sentiasa membuat persiapan dengan beramal soleh.

3. Tilawah al-Quran.

Di dalam keluarga perlulah bacaan al-Quran dibacakan berulang-ulang setiap hari kerana rumah yang dibacakan al-Quran akan dinaungi oleh malaikat rahmat. Syaitan akan menjauhi daripada rumah tersebut kerana kepanasan. Keluarga tersebut juga akan diberikan sakinah (ketenangan) apabila suami, isteri dan anak-anak sering membaca al-Quran di dalam rumah mereka.

Firman Allah S.W.T lagi maksudnya :

"Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa." (Surah Al-Baqarah ayat 2)

Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.

(Hadis Riwayat Bukhari)

Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata : “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Solat dan doa

Solat fardu lima waktu jangan ditinggalkan kerana yang membezakan seorang muslim dengan bukan muslim adalah solat fardu.

Sabda Baginda SAW maksudnya : "Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan
kesyirikan dan kekufuran dengan meninggalkan solat". (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya yang pertama kali dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat daripada amalnya ialah solatnya, jika solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jika amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung". (Hadis riwayat Tirmidzi)

Selain daripada solat fardu, perlulah diperbanyakkan solat-sulat sunat lain seperti solat duha, solat tahajud dan solat sunat rawatib kerana solat-solat sunat ini akan menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Salah satu solat sunat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW adalah solat duha kerana solat duha adalah solat pembuka pintu rezeki dan merupakan sedekah.

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat duha." (Hadis Riwayat Muslim)

Jika solat-solat sunat banyak dilakukan di dalam rumah , rumah tersebut akan diturunkan keberkatan dan sakinah, dengan itu akan mendamaikan hati penghuni rumah tersebut. Sebaliknya jika di dalam rumah sentiasa berkumandang lagu-lagu rock dan black metal, ditanyakkan banyak filem-filem melalaikan, ada mengantung gambar-gambar manusia atau terdapat patung-patung sebagai perhiasan maka rumah tersebut suka di datangi jin dan syaitan dan malaikat rahmat akan menjauhkan diri.

Banyakkan juga doa-doa kepada Allah SWT, mohon keselamatan . kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat kepada Allah SWT.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api Neraka.” (Surah al-Baqarah ayat 201)

Doa pelembut hati untuk suami, isteri dan anak-anak :

Baca Surah Taha ayat 1-5.

Maksudnya :

"Dengan nama Allah. Yang Maha Pemurah , lagi Maha Mengasihani

1. Thaahaa.

2. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah;

3. Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah),

4. Iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.

5. (Iaitu) Tuhan yang Maha Pemurah. yang bersemayam di atas ‘Arsy."

Kemudian baca doa pelembut hati di bawah :

“Allahumma laiyinli qalbahu, laiyinta li Daudal hadid”

“Ya Allah, lembutkanlah hatinya sebagaimana Kamu melembutkan Daud (akan) besi”

Kemudian tiupkan ke air dan diminum oleh anak-anak untuk melembutkan hati mereka.

Doa di atas boleh digunakan untuk semua orang yang keras hati, sentiasa melawan dan tidak menurut kata. Ini termasuklah untuk melembutkan hati untuk diri sendiri. Untuk kegunaan diri sendiri, letakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati dan baca doa di atas. Kemudian tarik nafas perlahan-lahan hingga habis dan lepaskan. Untuk kegunaan orang lain, ketika membaca doa, letakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati orang yang meminta pertolongan tadi. Bagi orang yang meminta doa pelembut hati melalui wakil, baca ayat tersebut ke dalam air dan air diberikan untuk diminum.

Boleh juga dibaca surah Taha ayai 1-5 tiup diumbun-umbun anak-anak semasa tidur dan diikuti dengan doa pelembut hati atau jika suami keras hati isteri boleh lakukan ke ats suami semasa tidur.

5. Zikir dan beristighfar.

Berzikir dan beristighfar adalah makanan roh. Jika kalian cukup mengambil perhatian apabila sakit dan terus berjumpa doktor walaupun ditengah malam tetapi kenapa kalian tidak ambil perhatian mengenai roh kalian yang sedang sakit dan perlukan makanan? Kenapa hati kalian tidak tenang, jiwa kalian tidak tenteram, emosi kalian sering suka marah dan tidak sabar ini adalah berpunca kerana roh kalian sedang sakit dan sedang kelaparan. Kalian perlu beri ubat dan makanan supaya ianya segar kembali dan mencerikan hidup kalian.

Tidak ada jalan lain untuk memberi makanan kepada roh iaitu perlulah banyakkan berzikir, beristighfar, membaca al-Quran dan mendirikan solat.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : "Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan takut dan bukan dengan suara keras, di waktu pagi dan petang dan janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai" (Surah al-A'raf ayat 205)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya : Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya kalau saya mengucapkan: Subhanallah walhamdu lillah wa la ilaha illallah wallahu akbar -yg maksudnya: Maha Suci Allah, segenap puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah adalah Maha Besar-, maka itu adalah lebih saya sukai daripada apa saja yang matahari terbit atasnya -yakni lebih disukai dari dunia dan seisinya ini." (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW bersabda maskdunya : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali" (Hadis Riwayat Muslim).

Istighfar ertinya memohon ampun kepada Allah SWT. Islam mengajarkan kepada umatnya agar memperbanyak istighfar. Rasulallah SAW. sendiri sehari 100 kali mengucapkan Istighfar

Rasulallah SAW yang sudah dijamin terampun dosa-dosanya yang kemudian dan akan datang tetapi baginda masih melakukan hal itu, apalagi kita, mestinya lebih banyak lagi beristighfar, kerana jelas tidak dijamin dan bukan maksum maka mungkin lebih banyak kita melakukan dosa setiap hari.

6. Sedekah.

Seorang anak lelaki bertanya Rasulullah s.a.w : "Sedekah mana yang lebih besar pahalanya?

Nabi SAW menjawab, "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "Ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam menggalakkan umatnya yang berkemampuan untuk memberikan sedekah jariah dan memberi bantuan secara suka rela tanpa mengharapkan balasan duniawi, melainkan mengharapkan keredaan Allah SWT. semata-mata.

Dalam hadis Nabi SAW ada menjelaskan bahawa sedekah jariah yang diberikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah adalah salah satu saham akhirat yang akan mengalir terus pahalanya walaupun ia telah kembali menemui Allah SWT di alam Barzakh.

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak ‘memiliki’ tetapi kerana banyak ‘memberi’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana Dia-lah yang banyak memberi. Jika kita banyak memberi akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak menerima kita akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat.

Janganlah menganggap bahawa wang yang disumbangkan untuk sedekah itu akan berkurangan sedangkan ianya akan bertambah dan akan diberikan rezeki oleh Allah SWT daripada jalan yang tidak disangka-sangka.

Keluarga yang banyak menghulurkan sedekah kepada orang miskin, anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal yang ramai tanggungan, sekolah agama dan pembinaan masjid maka Allah SWT akan menurunkan keberkatan dan ketenangan dalam keluarga tersebut, oleh itu kita perlu menggalakkan isteri dan anak-anak kita bersedekah setiap hari walaupun hanya seringgit supaya mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan,tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui." (Surah Ali Imran ayat 92)

Asbabun Nuzul ayat di atas (3:92) :

Anas bin Malik r.a berkata, "Ayat ini diturunkan sehubungan dengan Abu Talhah r.a seorang sahabat Ansar yang terkaya di Madinah, yang menyumbang harta berupa tanah Bairukha untuk kepentingan agama Islam " (Hadis Riwayat Ahmad)

7. Kasih sayang.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Hadis Riwayat Abu ‘Asakir)

Perasaan kasih sayang perlu ada di dalam rumah tangga. Suami menyayangi isteri dan anak-anaknya, begitu juga isteri mengasihi suami. Masing-masing memberi dan menerima kasih sayang. Jika kasih sayang sudah hilang maka kebahagiaan tidak akan dapat diwujudkan.

Apabila niat yang ikhlas dan matlamat yang betul dan bersih untuk mencari keredaan Allah SWT dalam membina rumah tangga bahagia maka Allah SWT akan mengurniakan sakinah, mawaddah warrahmah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah ar-Rum ayat 21)

Berdasarkan ayat di atas terdapat tiga (3) perkara pokok kurniaan Allah SWT kepada keluarga yang bahagia iaitu :

1. Sakinah yang dimaksudkan sebagai Ketenangan,

2. Mawaddah bermakna sebagai Cinta sejati

3. Warrahmah bermakna Kasih Sayang

Sakinah bermakna kecenderungan atau kecondongan hati agar kedua suami isteri dapat beribadah kepada Allah SWT. Perasaan ketenangan dan kententeraman ini dikurniakan Allah SWT kepada suami isteri apabila mereka hidup bersama. Ketenangan adalah hasil dari iman dan takwa yang dibina bersama secara istiqamah dan tentunya mahligai rumah tangga akan damai tenteram serta semua masalah dihadapi dengan saling menghormati dan menghargai.

Mawaddah, adalah cinta sejati bermaksud menerima pasangan hidup apa adanya dan mencintai kerana mengharapkan semata-mata redha Allah SWT. Insya Allah cinta yang terpateri dengan keimanan dan takwa tersebut akan mampu mengatasi ancaman, gangguan, dugaan dan berbagai masaalah kehidupan. Menerima apa adanya pasangan adalah kunci kebahagiaan bahtera rumah-tangga.

Warrahmah, salah satu sifat Tuhan Yang Maha Kasih Sayang yang di anugerahkan kepada hamba-Nya, agar dalam menempuh kehidupan rumah tangga selalu memancarkan kasih sayang dan kelembutan. Kasih sayang ke dua insan yang dipadukan dalam perkahwinan akan lebih bertaut ketika mendapat zuriat keturunan dalam kehidupan rumah tangga.

Amanah yang diberikan Tuhan Yang Maha Pengasih adalah keturunan yang harus dididik dengan penuh kasih sayang diberi didikan iman dan takwa menuju kepada keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita menghayati tujuh asas penting sunah Rasulullah SAW dalam membina keluarga bahagia hingga melahirkan sakinah, mawaddah warrahmah. Tanpa ada asas-asas ini impian kalian untuk melahirkan baitul muslim dan anak-anak yang soleh dan solehah tidak akan tercapai. Walaupun agak sukar untuk memulihkan rumah tangga sedia ada kerana sudah kebiasaan dengan kehidupan yang tidak tenteram, sering berlaku perselisihan faham di antara suami dan isteri , masih belum terlambat lagi untuk menyelamatkan rumah tangga ke jalan yang diredai oelh Allah SWT. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT semoga diberi-Nya kekuatan untuk kita beramal dengan amal Islam dan kembali kepangkal jalan.