Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday 7 January 2011

HASAD DENGKI

Sahabat yang dirahmati Allah.

Dalam diri manusia terdapat seketul daging jika baik daging itu maka baiklah seluruh anggotanya dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh seluruh anggota yang lain, maka seketul daging itu adalah hati.

Hati memainkan peranan penting dalam tubuh badan manusia kerana elok hati maka eloklah manusia itu. Jika kotor hati maka buruklah akhlak manusia itu. Oleh itu hati perlu dibersihkan selalu. Apabila hati sihat maka rohani akan sihat.

Allah tidak melihat manusia berdasarkan paras wajah yang cantik atau tampan. Allah tidak juga melihat akan kehebatan atau terkenalnya manusia itu dalam masyarakat atau negara. Tetapi yang akan dilihat oleh Allah S.W.T adalah pada hati-hati manusia.

Sabda Rasulullah S.A.W daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badanmu, rupamu, tetapi langsung melihat kepada hati dan perbuatanmu.”

(Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu Allah sangat membenci orang yang membutakan hatinya. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kami jadikan sebagai isi Neraka Jahanam kebanyakan di antara jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat Allah. Dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah. Dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.”

(Surah al-Araf, ayat 179)

Orang yang disebut Allah dalam firman-Nya itu ternyata rohaninya (hatinya) tidak sihat dan tentunya berpenyakit. Apabila rohani berpenyakit maka berlakulah sifat bertentangan tuntutan agama dan lebih buruk lagi boleh mengakibatkan manusia itu ingkar kepada Allah.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Di dalam hati mereka ada beberapa penyakit, lalu Allah menambah penyakit itu, dan untuk mereka itu azab yang pedih kerana mereka telah berdusta.”

(Surah al-Baqarah ayat 10)

Salah satu penyakit rohani yang cukup akrab menghinggapi orang Islam ialah penyakit hasad dengki. Penyakit ini adalah sifar mazmumah yang boleh menjadi sebagai kaya bakar yang akan membakar (menghapuskan) amal-amal soleh seseorang.

Sahabat yang dimuliakan,

Sifat hasad dengki adalah sifat yang banyak membawa keburukan dan kemusnahan. Orang berpenyakit hasad dengki ini tidak suka melihat orang lain berjaya daripada dirinya, tidak kira dalam apa juga bidang. Dia akan berusaha sedaya upaya menjatuhkan atau menggagalkan orang yang lebih daripadanya itu. Dia akan melakukannya sehingga berjaya, iaitu sehingga musuhnya jatuh gagal dan tewas.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : ".. ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) kerana kurnia yang telah diberika Allah kepadanya? Sungguh , Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepada mereka kerjaan (kekuasaan yang besar)."

(Surah an-Nisa' ayat 54)

Asbabun Nuzul surah an-Nisa' ayat 54.

Ibnu Abbas r.a menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan kaum Nasrani dan Yahudi yang suatu ketika berkata : "Muhammad menganggap dirinya telah diberi kenabian, kemenangan dan al-Quran dengan sifat tawaduk, sedangkan ia suka wanita. Maka raja manakah yang lebih utama daripada dia?

(Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim)

Sahabat yang dikasihi,

Terdapat 10 perkara yang boleh mengubati hati yang mempunyai hasad dengki. Perkar tersebut adalah seperti berikut :

1. Ilmu yang bermanfaat

Kerana hakikat ilmu yang bermanfaat akan mencegah pelakunya dari mewujudkan hasad dengki. Dia akan menyadari bahwa hasad dengki hanya akan membahayakan dunia dan agamanya. Bahaya bagi agamanya kerana dengan hasad dengki dia akan menentang takdir Allah. Bahaya bagi dunianya, kerana hati orang yang hasad dengki akan merasa pedih dan sakit apabila melihat orang yang dia dengki mendapat nikmat. Carilah ilmu yang bermanfaat yang menerangi jalan kehidupan yang akan mencegah dari kesalahan. Kemudian amalkanlah.

Firman Allah S.W.T. maksudnya :

“ Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah kami berikan kepadanya ayat-ayat kami (Pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh setan (sampai dia tergoda). Maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. Dan kalau kami menghendaki, sesungguhnya kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan memperturutkan hawa nafsunya yang rendah. (Surah al-A’raf ayat 175-176)

2.Bertaubat kepada Allah S.W.T.

Bertaubat kepada Allah S.W.T. boleh menghapuskan dosa seseorang. Taubat nasuha dan menyesali akan dosa kerana hasad dengkinya, meninggalkan dan bertekat untuk tidak mengulanginya kembali di masa akan datang. Apabila penyakit ini datang ia bersegeralah minta ampun kepada Allah S.W.T. semoga Dia mengampunkan dosa-dosanya.

3. Berfikir positif dan merenungi akibat keburukan hasad dengki.

Apabila kita memikirkan bahawa betapa besarnya dosa hasad dengki ini dan balasan yang dahsyat akan diberikan oleh Allah S.W.T kepada sesiapa yang berhasad dengki ketika di dunia, maka perasaan ini boleh menjadi motivasi untuk dijauhi penyakit ini.

4. Menerima takdir Allah S.W.T. dengan lapang dada.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya :

“Terimalah apa yang Allah berikan padamu, nescaya engkau menjadi manusia yang paling kaya."

Imam Ibnu Sirin mengatakan : “ Aku tidak pernah hasad kepada seorangpun dalam urusan dunia, kerana apabila ia ahli syurga, bagaimana mungkin aku hasad padanya dalam urusan dunia yang itu tidak ada nilainya di syurga nanti. Apabila ia termasuk ahli neraka , maka bagaimana mungkin pula aku hasad padanya dalam urusan dunia sedangkan dia akan masuk neraka?

5. Doakan saudara kita.

Apabila hati kita dijangkiti hasad dengki, maka doakanlah kebaikan pada orang yang kita dengki semoga ia dirahmati Allah, kerana doa akan menimbulkan keajaiban, merubah keadaan yang buruk menjadi baik. Pertanda bahwa diri kita tidak ada hasad dengki dan tidak ada tujuan kecuali kebaikan bagi saudara kita.

6. Mencinati saudara sesama muslim semata-mata kerana Allah.

Cintailah saudara kita kerana Allah, mulakan dengan menyanyakan kabar kepada dirinya, agar hasad dengki dalam jiwa kita hilang dan orang yang kita ingin berhasad dengki menjadi orang yang kita berbaik dengannya. Kerana apabila seorang sudah menjadi sahabat kita maka mudah untuk kita mencintainya, dengan ini perasaan hasad dengki akan berkurang dan hilang.

Cubalah, berkemungkinan cara ini agak sukar akan tetapi mujarab. Ingatlah selalu firman Allah yang berbunyi :

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.”

7. Menziarahi saudara sesama muslim.

Menziarahi seorang muslim terhadap saudaranya boleh melahirkan kasih sayang.

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya :

“ Barang siapa yang menjenguk orang sakit, atau mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka dia akan dipanggil dari atas langit : Semoga engkau menjadi baik, baik pula perjalananmu dan engkau meraih kedudukan di syurga.”

8. Jangan diam dari kemungkaran.

Apabila di dalam satu majlis, jika ada saudara kita yang menceritakan mengenai keburukan saudara kita yang lain kerana perasaan hasad dengki maka kita perlu bela dan tidak boleh berdiam diri. Beritahu pada orang yang mempunyai hasad dengki itu supaya menyedari akan perbuatannya itu adalah berdosa semoga dengan tindakkan kita ini boleh menghilangkan perbuatan hasad dengki tersebut.

9.Mengutamakan orang lain.

Apabila kita mengetahui ada seseorang yang berhasad dengki dengan kita, dan kita berjumpa disatu majlis maka kita perlu mulakan dahulu dengan memberi salam dan menyanyakan khabar beritanya, supaya dengan sikap kita yang berbaik-baik dengannya boleh mengurangkan perasaan tersebut yang ada pada dirinya.

10.Minta nasihat darinya.

Secara hikmahnya kita cuba minta nasihat daripada orang yang suka berhasad dengki dengan kita supaya dengan sikap kita yang berbaik-baik dengannya akan menghilagkan perasaan tersebut .

Ibnu Abbas r.a berkata : “Tiga perkara yang aku tidak dapat membalasnya kecuali doa : 1. Seorang yang masuk menemuiku dalam suatu majlis, dia berdiri dengan senyum dan gembira. 2. Seorang yang memberi kelapangan kepadaku dalam majlis. dan 3. Seorang yang tertimpa masalah, kemudian dia minta pendapatku. Mereka adalah orang-orang yang aku tidak dapat membalas kebaikannya kecuali dengan doa.”

Demikianlah sedikit pembahasan masalah hasad dengki. Kita berlindung kepada Allah S.W.T. agar terhindar dari keburukan sifat hasad dengki sesama muslimdan Allah S.W.T.

Sahabat,

Marilah sama-sama kita menjauhkan sifat hasad dengki kerana sifat ini menyebabkan kita akan jauh daripada rahmat Allah S.W.T dan dekat dengan azabnya. Salah satu sifat ahli neraka adalah semasa di dunia suka berhasad dengki dan tidak suka kepada nikmat Allah S.W.T yang diberikan kepada hamba-hamba-Nya yang lain.

Thursday 6 January 2011

SIFAT TAWAKAL

Sahabat yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah al-Thalaq ayat 3).

Untuk memahami lebih jelas lagi konsep tawakal ini pernah Rasulullah S.A.W. menjelaskan kepada seorang lelaki yang datang berjumpa dengan baginda.

"Telah datang kepada Rasulullah S.A.W. seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah S.A.W. "Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal?" Rasulullah S.A.W. menjawab, maksudnya : "Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal." (Hadis Riwayat al-Tarmizi)

Sifat putus asa hanya layak bagi orang kafir. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : "... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusof ayat 87).

Allah berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."(Surah al-Ra'd ayat 11).

Sahabat yang dimuliakan,

Terdapat satu kisah di zaman Nabi Sulaiman a.s. bagaimana seekor semut bertawakal kepada Allah S.W.T dan kita boleh belajar daripada daripada kisah ini.

Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebutir gandum.

Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam sebuah botol dengan di letakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup (diberi lubang sikit untuk udara masuk ke dalamnya).

Cukup tempuh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar sebutir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.

Nabi Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebutir gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.

Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan jadi padanya?

Pengajaran yang boleh di perolehi :

1. Semut lebih yakin kepada jaminan Allah (bertawakal kepada Allah) ketika di luar botol berbanding "jaminan" manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah ia mengambil langkah berjimat cermat, supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan dia masih mampu bertahan. Masih ada makanan yang boleh digunakan.

2. Kenapa kita yang berada di dunia ini yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T. tetapi masih ragu-ragu tentang jaminan rezeki dari Allah S.W.T.? Oleh itu yakinilah dengan sepenuh hati bahawa setiap anak yang lahir ke dunia, Allah s.w.t. telah menjamin rezeki untuknya, samaada ibu-bapanya merancang atau tidak merancang untuk anak tersebut.

Sahabat,

Seseorang yang mempunyai sifat putus asa hanya boleh di atasi apabila individu tersebut melawan unsur negatif dalam dirinya dengan azam yang kuat dan tawakal kepada Allah. Oleh itu terdapat beberapa langkah yang perlu di ambil perhatian serius untuk mengatasi sifat putus asa ianya adalah seperti berikut :

1.Tawakal dengan sepenuh hati

2. Yakin dengan janji Allah dan reda dengan segala ketentuan-Nya.

3.Semangat juang yang tinggi (strong will).

4.Jangan fikir kesusahan akan berpanjangan kerana ia akan menyuburkan sifat putus asa.

5. Ingatlah bahawa Allah mempunyai sifat-sifat yang harus iaitu harus melakukan apa saja. Oleh sebab itu, kita sebagai hamba tidak layak merasa putus asa atau apa jua ketetapan Allah untuk kita kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil dalam setiap perancangan-Nya.

6. Putus asa bukan jalan keluar daripada sebarang masaalah.

Akhir kata marilah sama-sama kita bertawakal kepada Allah S.W.T. tanpa ragu-ragu dan membuangkan segala sifat mazmumah terutama sifat putus asa .Kerana sesungguhnya orang yang beriman tidak akan mempersoalkan ketentuan Allah, ingatlah segala apa yang ditetapkan Allah ke atas diri kita adalah sesuatu yang baik dan ada hikmahnya dan Allah Maha Mengetahui sedangkan kita tidak mengetahuinya.