Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday 26 April 2011

JAUHKAN DIRI DARI FITNAH HATI

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Fitnah adalah satu perbuatan yang amat dikutuk oleh Allah SWT kerana dengan membuat fitnah akan menyebabkan jatuhnya maruah seseorang mukmin itu dan dia akan dipandang serung dan akan mendapat malu sedangkan dia tidak melakukan perkara yang difitnahkan itu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Membuat fitnah adalah salah satu dosa besar yang amat dibenci oleh Allah SWT. Sekiranya seseorang mempunyai aib sekalipun Islam melarang aib tersebut di dedahkan dan disebarkan, apatah lagi seseorang itu tidak ada aib sedangkan dia dituduh dengan sesuatu aib dan aib yang palsu itu disebarkan merata tempat maka berganda-ganda dosa akan diperolehi oleh tukang fitnah tersebut memang layaklah dia dihumbankan ke dalam neraka Jahanam.

Satu lagi fitnah yang sering dilupakan oleh umat Islam adalah fitnah hati.

Dari Hudzaifah r.a, beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Fitnah-fitnah akan mendatangi hati bagaikan anyaman tikar yang tersusun seutas demi seutas. Maka hati mana saja yang menyerapnya akan ditorehkan padanya satu titik hitam. Dan hati mana saja yang mengingkarinya akan ditorehkan padanya satu titik putih hingga menjadilah keadaan dua jenis hati tadi, hati yang sangat putih bagaikan batu putih yang sangat licin, tidak akan ada satu fitnahpun yang akan memudaratkannya selama langit dan bumi masih ada. Sedangkan hati yang lain adalah hati yang hitam dan kotor, baikan gelas yang terbalik. Hati yang tidak mengetahui perkara yang makruf dan tidak pula mengingkari perkara yang mungkar, kecuali yang sesuai dengan hawa nafsunya”

(Hadis Riwayat Muslim no 144)

Imam Ibnu Qayim rahimahullah berkata :

“Allah menyerupakan datangnya fitnah ke hati sedikit demi sedikit saperti anyaman tikar yang disusun seutas demi seutas. Dan Allah membagi hati di saat datangnya fitnah-fitnah tadi menjadi dua jenis hati, yakni hati yang datang padanya fitnah, maka dengan serta merta menyerapnya sebagaimana batu apung yang menyerap air sehingga hati tadi menghitam dan terbalik. Inilah makna sabda baginda “bagaikan gelas yang terbalik/tertelungkup”.

Jika keadaan hati tersebut sudah menghitam dan terbalik maka akan muncul dengan sebab dua penyakit tadi, dua penyakit berikutnya yang sangat berbahaya yang saling menyeret orang tertimpanya untuk dilemparkan ke dalam kebinasaan. Dua penyakit tersebut adalah :

1. Seorang akan menjadi keliru antara perkara yang makruf (baik) dengan perkara yang mungkar, sehingga hati tersebut tidak boleh mengenali perkara makruf dan tidak pula boleh mengingkari perkara yang mungkar. Bahkan terkadang penyakit tadi semakin mengacaukan keadaan hati tersebut sehingga dia meyakini perkara yang makruf itu sebagai perkara yang mungkar . Sunnah diyakini sebagai perkara yang bid’ah dan bid’ah diyakini sebagai suatu sunnah. Serta menganggap kebenaran sebagai suatu kebatilan, dan kebatilan diyakini sebagai kebenaran.

2. Adapun penyakit yang kedua adalah menjadikan hawa nafsunya sebagai hakim (penentu) dalam menghadapi apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan senantiasa tunduk dan mengikuti hawa nafsunya.

Jenis hati yang kedua adalah hati yang putih (cemerlang) yang memancarkan cahaya iman dan berhiaskan cahaya tersebut. Jika fitnah mendatangi hati jenis kedua ini, serta-merta hati tersebut akan mengingkari dan menolaknya, sehingga hati tersebut semaikn kuat dan bercahaya.

Sesungguhnya fitnah-fitnah yang mendatangi hati merupakan sebab yang menjadikan sakitnya hati. Fitnah-fitnah tersebut adalah fitnah syahwat (hawa nafsu) dan fitnah syubhat (keracunan). Atau dengan istilah lain fitnah penyelewengan dan kesesatan ; fitnah maksiat dan bid’ah dan fitnah kezaliman dan kebodohan.

Fitnah hati jenis pertama (yaitu fitnah syahwat) menyebabkan rosaknya niat adan keinginan seseorang dalam beramal. Sedangkan fitnah hati jenis kedua (fitnah syubhat) menyebabkan rosaknya ilmu (pemahaman) dan I’tiqad (keyakinan) .

Sahabat yang dimuliakan,

Islam amat menjaga soal fitnah di hati ini supaya hati yang terhindar daripada fitnah akan melahirkan kemanisan dalam beribadah, keseronokan dalam keimanan dan ketenangan dalam menjalani hubungan hati dengan Allah SWT.

Di antara penyebab terjerumusnya seseorang ke dalam fitnah:



* Kesediaan hati menerimanya.

* Mendahulukan pendapat peribadi di atas hukum syarak.

* Menerima jawatan yang tidak mampu dilaksanakan.

* Sibuk berbicara tanpa bekerja.



Di antara kesan fitnah:



* Membuat manusia lupa terhadap kebenaran yang sebenarnya.

* Menipiskan agama.

* Menghilangkan akal.

* Tidak mendengar nasihat.



Di antara penyelamat dari segala fitnah:



* Tidak menuntut hak dalam urusan dunia.

* Faham terhadap agama.

* Melepaskan diri dari fitnah dan sebab-sebabnya.

* Tidak memegang jawatan dalam fitnah.

* Berdoa agar dijauhi dari kejahatannya.

* Hati mengingkari fitnah tersebut.

* Beramal soleh.

Hidup di dalam dunia siber hari ini perhubungandi antara lelaki dan wanita amat mudah sekali berbanding tahun keadaan 2o tahun yang lalu. Gejala sosial yang berlaku masa kini hingga melahirkan ramai anak-anak luar nikah adalah berpunca daripada sumbangan perhubungan yang amat mudah di antara lelaki dan wanita tanpa batas dengan yang bukan mahram hingga membawa kepada pertemuan, berdua-duaan hingga membawa kepada zina.

Terdapat banyak kes berlaku perceraian dikalangan pasangan Islam adalah berpunca daripada fitnah hati pertama (fitnah syahwat) iaitu apabila isteri bersembang dan perhubungan yang intim dengan rakan siber yang berlainan jenis hingga membawa bibit-bibit 'percintaan' sehingga melakukan kecurangan dan akhirnya berlakunya penceraian.

Iblis berkata kepada Nabi SAW : "Apabila seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita yang tidak halal baginya (termasuk juga chating berdua-duaan) , maka akulah temannya. Aku akan goda lelaki itu dengan wanita tersebut dan goda wanita itu dengan lelaki tersebut," kata Iblis.

Jika perhubungan untuk mendapat ilmu yang bermanfaat dan menyelesaikan persoalan agama tidaklah dilarang dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT dan tidak mendatangkan fitnah. Orang mukmin lelaki dan wanita dibenarkan bantu membantu untuk menegakkan agama Allah SWT dan mencari keredaan-Nya.

Sahabat yang dikasihi,

Orang mukmin sentiasa berusaha dan berhati-hati menjaga hatinya supaya sentiasa bersih, sihat dan tidak berpenyakit. Kerana hati yang sejahtera akan mendorong untuk mendekatkan diri kita dengan Allah SWT dan akan menjadikan kita mukmin yang taat dan patuh kepada Allah SWT.

Sebaik-baik hati adalah hati orang mukmin iaitu hati yang bersih, tegas dan lemah lembut . Sesungguhnya dengan ketiga-tiga sifat ini jadilah ia seorang mukmin yang dikasihi oleh Allah S.W.T.

Saiyidina Ali k.w. berkata : "Adapun Allah S.W.T. di muka bumi ini mempunyai bejana-bejana; iaitulah hati manusia. Sebaik-baik hati ialah yang bersih, tegas dan lemah lembut. Kemudian beliau menjelaskan pula; maksudnya, bersih dalam keyakinan, tegas dalam urusan agama, dan lemah lembut dalam pergaulan dangan kaum muslimin."

Daripada Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah ditanya, siapakah yang paling mulia diantara manusia?. Nabi S.A.W. menjawab yang bermaksud : "Setiap orang yang hatinya 'makhmum' dan lidahnya jujur."

Sahabat r.a bertanya, "Kami tahu seorang yang lidahnya jujur, tetapi apa yang di maksudkan dengan hati 'makhmum'? Baginda menjawab, "Makhmum' ialah orang muttaqin (menjauhkan diri dari keburukan kerana takut kepada Allah) dan bersih hatinya, bebas dari segala dosa dan kesalahan, tidak mempunyai sedikitpun perasaan dengki atau irihati padanya."

Sahabat yang dihormati,

Marilah sama-sama kita menjauhkan diri kita daripada semua fitnah samaada fitnah yang datang daripada lidah atau pun fitnah yang datang ke dalam hati kita. Untuk menjaga fitnah hati lebih utama kerana fitnah yang dibuat oleh lidah adalah berpunca kerana hati seseorang itu telah rosak dan mengikut hawa nafsu dan mendengar bisikan syaitan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir

RENUNGAN BERSAMA

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir."(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, dan At-Tirmidzi dari Abu Hurairah. Sahih Al-Jami' - 3412)

Hidup di dunia ini adalah medan ujian untuk orang-orang yang beriman. Hidup di dunia adalah sementara waktu sahaja kerana setiap masa terikat dengan peraturan dan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT . Keadaan yang dikawal dengan undang-undang dan hukum-hakam dan tidak boleh lari daripada peraturan yang ditetapkan adalah dianggap sebagai penjara. Jika kita lihat suasana hidup dipenjara tidaklah sama semasa hidup bebas diluar penjara, kerana dipenjara setiap masa dikawal dengan undang-undang , ada warden yang sentiasa mengawasi setiap banduan, waktu untuk makan, bermain, tidur semuanya ada masa-masa yang telah ditetapkan dan setiap banduan diwajibkan untuk mematuhinya.

Di dunia ini adalah syurga untuk orang kafir kerana mereka bebas membuat apa saja yang dapat memuaskan hawa nafsunya. Bagi mereka tidak ada yang haram semuanya boleh belaka seperti berzina, minum arak, menipu, main judi dan bersekedudukan tidak halangan dan peraturan yang menyekatnya. Di hari akhirat nanti tidak berpeluang memasuki syurga sebaliknya akan dimasukkan ke dala neraka Jahanam.

Sahabat yang dimuliakan,

Orang beriman tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dunia tempat bekerja bukan tempat rehat. Oleh itu kalian mesti gigih melaksanakan amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah, meningkatkan ilmu fardu ain dan menyampaikannya, berdakwah dan berjihad di jalan Allah SWT.

Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran. Seorang mukmin tahu dengan yakin, dunia bukan negeri yang mulia. Tempat sekadar persingahan yang sementara.

Abu Said meriwayatkan, Rasullullah SAW bersabda "Nabi Musa a.s. berkata : "Wahai Rabb, sungguh engkau telah menutup dunia untuk hamba-Mu yang beriman!"

Lalu Allah SWT membukakan salah satuu pintu syurga seraya berfirman maksudnya : " Inilah yang Ku- persiapkan untuknya"

Nabi Musa a.s. berkata : "Demi kemuliaan dan keagungan dan ketinggian kedudukan-Mu, andaikan ada orang yang dipotong kedua tangan dan kakinya lalu diseret wajahnya semenjak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (syurga) ialah tempat kembalinya, tentu seakan ia sama sekali tak ingat lagi akan seksaan."

Nabi Musa a.s. berkata : "Wahai Rabb, sungguh engkau memberi kenikmatan kepada orang kafir..." Lalu Dia membukakan untuknya salah satu pintu neraka, seraya berfirman maksudnya : "Inilah yang Ku-persiapkan untuknya."

Nabi Musa a.s. berkata : "Wahai Rabb, Demi Kemuliaan-Mu, andai Engkau berikan kepadanya dunia beserta isinya, dan ia seperti itu terus sejak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (neraka) ialah tempat kembalinya, maka seakan ia tak pernah merasakan kebaikan sama sekali'."

(Hadis Riwayat Ad-Dailami dengan sanad shahih Abu Said)

Sahabat yang dihormati,

Ada kisah menakjubkan dari Ibnu Hajar Al-Asqalani. Saat menjadi Ketua Hakim di Mesir, ia berjalan dengan segala kemewahan dan kemegahan . Tiba-tiba datang seorang Yahudi dalam keadaan miskin.

Lalu Yahudi tadi berkata," Bagaimana anda menafsirkan sabda Rasul kalian,"Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir."

"Boleh anda lihat sendiri saya dalam keadaan miskin, padahal saya kafir. Sementara kamu dalam kenikmatan dan kemegahan, padahal kamu orang beriman?"

Ibnu Hajar berkata," Kamu dengan kesengsaraan dan kemiskinanmu ini sudah terhitung di syurga manakala azab yang pedih menantimu di akhirat-jika kamu mati dalam keadaan kafir. Sementara aku dengan kemegahan ini-jika Allah memasukkanku ke syurga, semua kenikamatan duniawi ini terhitung penjara jika dibandingkan dengan kenikmatan yang menantiku di syurga." (Sahih Al-Hadis al-Qudsiya)

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan mereka berkata, 'Segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janji-Nya kepada kami dan telah memberikan tempat ini kepada kami sedang kami (diperkenankan) menempati syurga dimana saja yang kami kehendaki.' Maka (syurga itulah) sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal." (Surah az-Zumar ayat 74)

Walaupun dunai ini seperti penjara bagi orang mukmin, ini bukanlah bermakna orang mukmin hanya berpeluk tubuh dan membiarkan saja nikmat dan rezeki yang ada di dunia ini dan serahkan semuanya kepada orang kafir, bukan begitu, perlu difahami bahawa orang mukminlah yang paling layak mewarisi segala hazanah yang ada untuk di manfaatkan untuk menegakkan syiar dan syariat Allah SWT dimuka bumi. Orang mukminlah yang paling layak menjadi pemimpin yang akan memakmurkan bumi ciptaan Allah SWT supaya semuanya ditakbirkan mengikut kehendak yang Maha Pencipta.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan sungguh telah Kami tulis di dalam zabur setelah (tertulis) di dalam Az-Zikr (Loh Mahfuz) bahawa bumi ini akan di warisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh" (Surah al-Anbiya ayat 105)

Sahabat yang dikasihi,

Akhirkata anggaplah kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada kita, sesungguhnya Allah SWT akan menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang dia lakukan ketika di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka. Kehidupan didunia hanyalah sementara sahaja.

Oleh itu marilah sama-sama kita menginsafi diri, beristighfar setiap masa dan berdoa memohon keampunan di atas kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan. Persiapkanlah empat bekalan iaitu satu bekalan yang akan kita bawa bersama-sama ke alam Barzakh dan tiga bekalan lagi akan kita tinggalkan di dunia yang mana sahamnya masih kita perolehi iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh dan solehah.