Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday 30 June 2011

JANGAN BERSANGKA BURUK

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sifat buruk sangka, bangga diri, ujub dan sombong adalah sifat-sifat mazmumah yang perlu kita jauhi. Tanpa kita sedari bahawa apabila sifat-sifat ini telah bertapak dalam hati kita akan menyebabkan hati kita berpenyakit dan akan merosakkan amalan kita kepada Allah SWT.

Terdapat satu kisah seorang ulama sufi bernama Hassan al-Basri dengan seorang pemuda berdua-duaan dengan seorang wanita.

Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hassan al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di sisi mereka terletak sebotol arak. Lalu Hassan berbisik "Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau dia seperti aku!"

Tiba-tiba Hassan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang itu berjaya diselamatkan.

Kemudian dia berpaling ke arah Hassan al-Basri dan berkata, "Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang."

Bagaimanapun Hassan al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu bertanya padanya. "Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan."

Hassan al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi dari bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya dari tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan."

Orang itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan."

Semenjak itu, Hassan al-Basri selalu merendahkan diri bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih dari orang lain.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebagai pengajaran untuk di ambil sebagai iktibar kisah diatas, terdapat dua cara untuk mengatasinya.

Pertama : Jangan berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah padanya. Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah jangan menghinanya atau reda dengan perbuatannya dan cuba mencari aibnya. Berilah nasihat yang baik penuh hikmah. Anggaplah berkemugkinan orang itu jahil tentang perbuatannya. Sebagai muhasabah diri sendiri pula, kita patut malu pada diri sendiri yang dikurniakan oleh Allah SWT ilmu ini tetapi masih juga melakukan perbuatan yang dilarang oleh-Nya.

Buruk sangka kepada orang lain atau yang dalam bahasa Arabnya disebut su' u zhan mungkin biasa atau bahkan sering hinggap di hati kita. .Yang parahnya, terkadang persangkaan kita tiada mempunyai asas dan tiada alasan yang benar. Memang semata-mata sifat kita suka curiga dan penuh sangka kepada orang lain, lalu kita membiarkan zhan tersebut bersemayam di dalam hati. Bahkan kita membicarakan serta menyampaikannya kepada orang lain. Padahal su`u zhan kepada sesama kaum muslimin tanpa ada bukti yang kukuh merupakan perkara yang terlarang.

Kedua : Perkara yang patut kita ingat adalah tentang diri kita iaitu perbuatan baik orang pada kita dan perbuatan jahat kita pada orang lain. Perkara yang patut kita lupakan adalah kebaikan kita pada orang dan kejahatan orang pada kita. Barulah hati kita akan menjadi bersih dan terhindar daripada sifat bangga diri dan menghargai kebaikan orang lain.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang percaya pada keterangan Kami, ialah orang yang apabila dibaca ayat-ayat itu kepada mereka, mereka sujud, tasbih memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri. Mereka meninggalkan tempat tidurnya menyeru Tuhannya dengan perasaan penuh kecemasan dan pengharapan dan mereka membelanjakan (di jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka,"

(Surah as-Sajadah ayat 15-16)

Wednesday 29 June 2011

Pesanan Untuk Isteri Bagaimana Menambat Hati Suaminya

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Perkahwinan adalah jalinan ikatan yang sah di antara lelaki dan perempuan untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini, terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan ditunaikan oleh pasangan suami isteri. Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dan juga keperluan tarbiah dan ilmu fardu ain.

Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang wajib dilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."

(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman bahawa untuk memasuki syurga-Nya yang penuh kenikmatan adalah melalui empat syarat sahaja.

Untuk menghuraikan syarat ke 4 iaitu mentaati suami, terdapat 13 perkara yang perlu dipatuhi dan dihayati oleh isteri solehah supaya menjadi pelengkap kepada kebahagiaan rumah tangga dan menjadi salah satu syarat untuk mendapat syurga Allah SWT dihari akhirat nanti.

Perkara-perkata tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Hendaklah isteri ingat bahawa dirinya (perempuan) itu dijadikan oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana untuk lelaki. Lelaki dijadikan menguasai perempuan dan menjadi pemimpin baginya. Oleh itu tidak patut bagi seorang perempuan berfikiran atau bercita-cita hendak menguasai dan menundukkan suami dalam segala hal.

Firman Allah SWT maksudnya : "Lelaki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri) , kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebagian yang lain (perempuan) dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah dari hartanya."

(Surah an-Nisa' ayat 34)

Kedua : Hendaklah ia bekerja dan berusaha dengan seberapa daya untuk menambat dan menggembirakan hati suami supaya suami cinta dan sayang kepadanya dengan berkekalan. Setengah ikhtiar itu ialah: Manis muka, halus perkataan, bersolek setiap hari dan waktu dan bersikap manja di hadapannya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Ketiga : Isteri hendaklah memerhatikan tabiat suami tiap-tiap hari tentang kesukaan dan kebenciannya. Apa-apa kesukaannya disempurnakan oleh isteri dan apa-apa kebenciannya ditinggalkan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya :

“Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, bila engkau perintah dia taat, bila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya.”

Keempat : Jangan banyakkan permintaan atau memberati suami dalam perkara yang tidak dapat menyempurnakannya apatah lagi jika ia tidak mampu kerana perbuatan demikian merunsingkan suami.

Abdur Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya : “Seorang yang membuat susah kepada suaminya dalam hal belanja atau membebani sesuatu yang suaminya tidak mampu maka Allah tidak akan menerima amalannya yang wajib dan sunatnya.”

Kelima : Jangan sekali-kali meninggalkan rumah tanpa izin suami atau melanggar perkara yang tiada gemar dan jangan pula suka membantah jika disuruh. Apabila disuruh eloklah dilaksanakan.

Firman Allah SWT : “Maka perempuan-perempuan yang solehah, adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga mereka." (Surah an-Nisa' ayat 34)

Keenam : Isteri hendaklah sentiasa ada di rumah ketika suami pulang dari kerja, melainkan kerana terpaksa atau ada hajat besar dan bila-bila suami balik hendaklah disambut dengan baik dan bersolek pula. Melainkan jika isteri juga bekerja, seelok-eloknya isteri balik lebih awal daripada suami.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ketujuh : Janganlah pergi mendapatkan bomoh, pawang, tukang sihir atau tukang tilik untuk memperlihatkan hal suami atau menambat hatinya. Ini semua berdosa serta membuang wang dan membazir.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Kelapan : Jangan suka menceritakan kecantikkan perempuan lain atau memuji-muji anak isteri orang lain di hadapan suami apatah lagi memburuk-burukkan mereka kerana memuji perempuan lain itu mungkin membukakan pintu nafsu suaminya kepada perempuan lain. Manakala mengeji atau memburukkannya pula boleh mendatangkan mengumpat atau membuka keaiban orang lain.

Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah SWT menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."

(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

Kesembilan : Hendaklah cermat dalam perbelanjaan hari-hari. Umpamanya jika diberi belanja untuk seminggu, janganlah habiskan kesemuanya. Bahkan hendaklah disimpan sedikit. Wang simpanan itu jangan pula dibelanjakan untuk perkara yang tidak penting bahkan untuk persiapan atau persediaan apabila datang kesusahan kerana barang siapa bercermat akan terselamat daripada kepapaan.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Israa' ayat 26-27, yang bermaksud: "...dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (engkar) kepada Tuhannya".

Kesepuluh : Jangan suka berhutang. Jika terpaksa berhutang sebaik-baiknya beritahu suami dan hutang itu ialah kerana muslihat rumahtangga dan bukan muslihat diri sendiri. Jika terdapat kekurangan perbelanjaan di dapur janganlah memarahi suami dengan kata-kata kutukan kerana perkataan tersebut mendatangkan dosa besar.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan." (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Kemurkaan Allah pada hari kiamat sangat dasyat sehinggakan nabi-nabi pun sangat takut. Bahkan Nabi Ibrahim pun lupa bahawa dia mempunyai anak yang bernama Nabi Ismail kerana ketakutan yang amat sangat. Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya : “Seorang wanita yang berkata kepada suaminya, 'semoga engkau mendapat kutukan Allah' maka dia dikutuk oleh Allah dari atas langit yang ke tujuh dan mengutuk pula segala sesuatu yang dicipta oleh Allah kecuali dua jenis makhluk iaitu manusia dan jin.”

Kesebelas : Jangan ceritakan perbelanjaan harian sama ada banyak atau sedikit kepada orang lain. Perbelanjaan yang kurang adalah aib suaminya hendaklah ditutup, jika perbelanjaan berlebihan pula dikhuatiri bermegah-megah dengan kekayaan yang dimiliki takut mendatangkan riak.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Kedua belas : Hendaklah makan minum untuk suami sama ada di sebelah pagi, tengah hari dan malam disediakan pada waktunya. Jangan sampai diminta atau disuruh, supaya tidak tergendala pekerjaan suami. Melainkan suami dan isteri mempunyai kerjaya masing-masing dan tempat yang berjauhan. Jika bekerja ditempat yang sama atau berdekatan eloklah makan tengahari bersama untuk melahirkan kemesraan dan kasih sayang.

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Mana-mana wanita yang melayani suaminya, meminyak rambut suaminya, menyikat janggutnya, mengunting misainya, mengerat kukunya, maka ia di akhirat ia diberi minum oleh Allah daripada air Syurga dan ia diringankan siksaan ketika sakaratulmaut (dekat hendak mati), di dalam kubur ia perolehi taman-taman seperti taman Syurga dan namanya tercatit sebagai orang yang lepas daripada siksaan Neraka dan selamat melintasi Titian Sirat tanpa menempuh kesusahan."

Ketiga belas : Hendaklah suami dan isteri menjaga kesihatan dengan seboleh-bolehnya dengan melakukan senaman dan jaga makanan dan minuman, jaga kebersihan dan jaga perasaan yang tenteram.Pepatah ada menyatakan bahawa,"otak yang sihat lahir daripada badan yang sihat".

Sahabat yang dimuliakan,

Jika semua nasihat itu disempurnakan oleh para isteri dan suami juga sentiasa memberi kerjasama dan kasih sayang kepada isterinya, insya Allah rumah tangga dan pergaulan suami isteri akan berada di dalam aman dan bahagia. Keluarga bahagia dan sakinah akan dapat dinikmati bersama dan bibit-bibit pertengkaran, pergaduhan dan penceraian akan dapat di elakkan dan dapat diatasi dengan baik.

Ada juga diantara isteri nabi-nabi yang mati dalam keadaan tidak beriman kerana mempunyai sifat yang buruk. Walaupun mereka adalah isteri manusia yang terbaik di zaman itu. Sebagai contoh isteri Nabi Nuh suka mengejek dan mengutuk suaminya dan dia mengajar anak lelakinya supaya membenci dan menolak dakwah baginda. Begitu juga isteri nabi Luth suka bertandang ke rumah orang dan bersekongkol dengan golongan homoseksual dan membuka rahsia suaminya supaya tetamu suaminya dijadikan 'mangsa' oleh kaumnya.

Semoga Allah beri kita kekuatan untuk mengamalkan kebaikan dan meninggalkan keburukan. Kalau kita tidak berasa takut atau tidak mahu berubah, maka kita khuatir jika kita tergolong dalam mereka yang tidak diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Friday 24 June 2011

Rezeki Yang Tiada di Sangka-sangka Untuk Orang Yang Bertakwa

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT telah ditetapkan rezeki untuknya. sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjamin rezeki untuk semua makhluknya, dari sekecil-kecilnya makhluk (kuman) hinggalah sebesar-besarnya (ikan paus) dan tidak dikurangkan sedikit pun daripadanya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Tidak ada satu makhluk melatapun di muka bumi kecuali Allah yang menanggung rezekinya, dan Dia yang mengetahui tempat berdiamnya dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Loh mahfuz)” (Surah Hud ayat 6)

Manusia diminta untuk bertawakkal, berusaha, berdoa dan bertawakkal nescaya ia akan mendapat dan memiliki rezeki yang telah disedaikan oleh Allah SWT. dimuka bumi ini.

Firman Allah SWT.yang bermaksud :

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."

(Surah At-Talaq ayat 2-3)

Takwa adalah merupakan kriteria atau ukuran sesaorang yang paling hampir dengan Allah SWT. Sesiapa saja dikalangan hamba-hamba Allah yang paling tinggi takwanya maka dia adalah orang yang paling mulia disisi Allah SWT. Orang yang bertakwa adalah orang mukmin yang cukup berhati-hati didalam menjalani kehidupan didunia ini, amat takut kalau-kalau dia terjerumus didalam kehidupan yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Ia bukan saja telah meninggalkan yang haram dan melaksanakan yang wajib tetapi ia telah meninggalkan perkara-perkara syubhah dan makruh. Dalam amalan ibadahnya diperbanyakkan amalan-amalan sunat dalam rangka merapatkan lagi hubungan dengan Allah SWT. Banyak membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar malahan semua yang harus pula di niatkan kerana Allah supaya ianya menjadi ibadah.

Allah SWT. akan membantu orang-orang yang bertakwa, segala kesusahannya, kemiskinannya dan apa-apa saja permasaalaan hidup yang dihadapinya, akan terbentang luas jalan keluar diberikan oleh Allah SWT. Bukan setakat ini saja, malahan Allah SWT. akan memberikan rezeki yang tiada disangka-sangka samaada rezeki datang dari langit, bumi, lautan, malahan yang jauh didekatkan dan yang sedikit akan diperbanyakkan dan yang banyak dipermudahkan untuk menguruskannya.

Untuk memastika rezeki Allah SWT berterusan maka hendaklah banyak memohon keampunan disisi Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya : “Mohonlah ampunlah kepada Rabb kalian, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat (melimpah ruah membawa kebaikan), dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai (yang penuh dengan kebaikan dan manfaat).” (Surah Nuh ayat 10 – 12)

Sahabat yang dimuliakan,

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

"Jika sekiranya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti Allah akan memberi rezeki kepadamu, seperti Dia memberi rezeki kepada burung-burung yang terbang di pagi hari dengan tembolok kosong dan waktu pulang kesarangnya pada waktu petang, temboloknya sudah penuh."

Orang-orang yang bertawakkal ialah mereka yang yakin dengan jaminan rezeki daripada Allah SWT. dan mereka akan mendapat balasan yang baik di akhirat nanti.

Sesungguhnya amalan orang-orang yang bertakwa tidak akan sia-sia malah akan mendapat ganjaran yang besar di dunia lagi dan ditambah nikmatnya di akhirat. Dan rugilah bagi sesiapa yang ingkar akan suruhan dan larangan Allah SWT , sesungguhnya Allah SWT akan melaknati orang yang mengingkari suruhan dan larangan-Nya. Maka akan memberinya pembalasan dan azab yang pedih di dunia lagi dan akan ditambah keseksaan dengan azab yang lebih pedih di akhirat kelak di dalam neraka di atas amalan-amalan mereka yang kufur.

Firman Allah SWT maksudnya : “Jika seluruh penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi”. (Surah al-A`raf ayat 96 )

Oleh itu, sebagai orang mukmin, menjadi kewajipan kita menyerahkan diri kepada Allah terhadap segala keperluan hidup diatas muka bumi ini. Kerana Allah telah menjamin rezeki hamba-hamba-Nya. Rezeki yang dikurniakan Allah bukanlah untuk bermewah-mewah atau menunjuk-nunjuk, melainkan semua ini untuk bekalan dalam beribadah dan supaya hati kita menjadi tenang. Sebab, kadangkala kemiskinan itu mengganggu fikiran dalam beribadah kepada Allah.

Tawakkal atau berserah diri dalam perkara rezeki, bukanlah bererti penyerahan diri secara lahiriah dengan hanya duduk berpangku tangan tanpa bekerja. Yang dimaksudkan disini ialah kita harus yakin dengan sepenuhnya bahawa Allah telah menjamin rezeki bagi segala makhluk yang telah diciptakan-Nya. Untuk mendapat jaminan tersebut, manusia mestilah berusha dan berikhtiar untuk mendapatkannya, melainkan orang-orang tertentu diberi kelebihan oleh Allah SWT.

Diriwayatkan dari sahabat Abu Hurairah bahwa Rasulullah mengabarkan bahwa Allah berfirman dalam hadis Qudsi, “Wahai Hamba-hambaku, hendaknya kalian memenuhi waktu dengan ibadah, kalau kalian melakukannya Aku akan memenuhi dada kalian dengan kekayaan, dan Aku akan menutupi kefakiran kalian. Kalau kalian tidak melakukannya, Aku akan memenuhi dada kalian dengan kesibukan dan Aku tidak akan menutup kefakiran kalian.”

Maka hendaknya seorang hamba menyibukkan dirinya dengan ibadah dan tetap berusaha mencari rezekinya. Kerana dengan memberi tumpuan beribadah akan mempermudah seseorang dalam mencari rezeki dan mendapat pertolongan Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,

Kunci rezeki dan perbendaharaan Allah SWT hanya berada ditangan-Nya dan Dia akan membuka pintu rezeki ini seluas-luasnya kepada hamba-hamba-Nya yang banyak melakukan amal soleh, amal ibadah dan sentiasa membuat kerja-kerja kebajikan. Apabila Dia kasih dan sayang pada kita maka segala permohonan dan doa kita dimakbulkan-Nya dan di kurniakan rezeki di jalan yang tiada disangka-sangka.