Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday 21 July 2011

TENANGKANLAH HATIKU

"Ya Allah,
tatkala bahang Mahsyar-Mu
menjilat tubuh
izinkan kami sama-sama berteduh
tatkala mizan-Mu teliti mengira
beratkan neracanya atas setiap jasa
naungi kami di sana
berkat kasih kerana-Mu semata
andai kulayak ke syurga
kupinta DIA bersama.

Ya Allah,
andai tabah jadi milikku
tabahkanlah juga hatinya
andai ikhlas bertakhta di hatiku
ikhlaskanlah juga dirinya
lindungi kami
sayangi kami dengan cinta-Mu yang agung
kekalkan kami dalam jalan reda-Mu.

Ya Allah,
jadikan sayang kami kerana-Mu
biarkan ikatan ini teguh demi-Mu
tetapkan hati kami buat-Mu
agar
kami terus sedar Engkau yang teragung
sesungguhnya
hati-hati kami ingin merintih pada-Mu
tautkan hati kami di atas kecintaan-Mu
agar kealpaan
beransur pergi.

Ya Allah,
sayangilah kami
bantulah kami menghadapi mehnah-Mu
mudahkan urusan kami
berilah kami petunjuk-Mu
agar kami tidak khilaf memilih
khabarkan pada kami
bahawa
ujian-Mu tanda sayang dari-Mu
dugaan itu hadiah keimanan dari-Mu
mehnah itu untuk dekatkan kami pada-Mu
agar kami terus, terus dan terus bergantung harap dan doa dari-Mu
bukakanlah hati kami
agar kami tidak terus terpaku di jalan gelap itu
sedangkan cahaya terang sudah terbit di tubir mata
terangkan hati kami
agar kami terus mencari jalan keluar
dan tidak berputus asa.

Ya Allah,
aku ingin mencintainya kerana-Mu
sayang buatnya kerana-Mu
kasih dilahirkan kerana-Mu
perkenankan..
perkenankan..
perkenankan Ya Allah.

AMIN YA RABBAL ALAMIN"

BUATMU INSAN YANG BERGELAR ADAM...

Secebis Ingatan Buat Adam....
renungan dari sahabat......

Adam…
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.

Wahai Adamku…

Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.
Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mahu terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam…

Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannnya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya. Jika bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.

Adam…

Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tapi… aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun…terasa berat pula untukku menyatakan isi perkara.

Adam…

Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu. Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini, aku dibiarkan terumbang-ambing tanpa haluan, malahan engkau juga mengambil kesempatan atas kelemahanku. Dimana perginya keadilanmu. Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap dirumah. Aku akur asalkan aku keluar dari rumah, seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut… Tapi realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam..

Mengapa kau biarkan aku begini?
Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?
Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad s.a.w terhadap mereka?
Adakah akhlak kaum Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam…

Kau sebenarnya Imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu Sembilan, nafsumu satu. Aku… akalku satu, nafsuku Sembilan.

Dari itu Adam…

pimpinlah, bimbinglah, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa sehingga aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam…

Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegar munkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang Agung.

Maafkan aku sekali lagi Adam…

Andainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah didadamu. Jauh sekali niatku untuk membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu.

Waspadalah Adam…

Andai auratku terdedah…andai suaraku mengatasimu… andai langkah seiringmu…andai maruahku dirobek maka engkaulah yang bakal membawaku kepada kebenaran.
Usah dipersalahkan Hawa lantaran tewas mengemudi bahtera andai si Adam masih lena diulit mimpi…
Tetapi percayalah!!!...bukan emas yang kucari…bukan berlian yang kupinta… tetapi…hanyalah hati yang tulus ikhlas darimu…Adam…

Dengarlah…keluhan hatiku buat dirimu…

Ikhlas dari kaum Hawa…

Tuesday 19 July 2011

ZUHUD

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sifat zuhud adalah satu sifat yang mulia di sisi Allah SWT. Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-A'laa ayat 16 dan 17 , yang mana Allah SWT. menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.

Firman Allah SWT bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

Ibnu al-Qayyim mengatakan bahwa zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat demi kehidupan akhirat.

Sayyidina Ali k.wj. pernah berkata , "Aku telah talak dunia dengan talak tiga" ini bermaksud dunia ini tidak masuk di dalam hatinya, apa yang beliau lakukan adalah semata-mata kerana Allah dan tidak ada langsung kepentingan dunia masuk di dalam hatinya.

Sebagai seorang khalifah Islam , Saidina Ali k.wj. sentiasa bersifat zuhud dan kezuhudannya tidak menghalang beliau untuk mentakbir negara dengan adil dan saksama dan menjaga kemaslahatan rakyat. Diberitakan setiap pagi beliau akan menghantar makanan dipintu rumah ibu-ibu tunggal yang miskin dan kematiaan suami. Setelah kewafatan beliau tidak ada lagi makanan yang dihantarkan, barulah mereka tahu bahawa yang menghantar makanan adalah beliau sendiri.

Dari Abul Abbas, Sahel bin Sa'ad as-Sa'idi r.a. berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW seraya berkata, "Ya Rasulullah! Tunjukkanlah aku suatu amalan, jika aku kerjakannya, nescaya aku dicintai Allah, dan dicintai orang ramai". Bersabda Rasullulah SAW, "Berlaku zuhudlah di dunia, nescaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah kepada pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya engkau dicintai orang ramai" – Hadis hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain dengan sanad-sanad yang hasan

Huraiannya :

Lelaki tersebut yang bertanya kepada Rasulullah SAW ingin mengetahui apakah bentuk amalan yang jika dilakukannya, maka Allah dan manusia akan mengasihinya. Dari soalannya yang tersebut menunjukkan minatnya terhadap melakukan amalan-amalan yang baik dengan niat yang ikhlas, dan jawapan dari Rasulullah SAW juga adalah tepat dan boleh dijadikan panduan hidup kepada seluruh umat Islam.

'Berlaku zuhudlah di dunia nescaya engkau dicintai Allah' bermaksud berlaku zuhudlah dengan mengambil harta dunia sekadar keperluan dan tidak berlebih-lebihan, apa lagi sehingga membawa ke peringkat tamak.

Pengertian zuhud bukan bermakna kita menolak semua kemudahan dan kebaikan kemajuan sains dan teknologi tetapi yang dikatakan zuhud adalah hati dan jiwa seseorang tidak terkesan dengan kemewahan dunia yang melekakan dan melalaikan tetapi hatinya tetap mencintai kehidupan di hari akhirat.

Zuhud dunia juga diertikan di segi syarak sebagai mengambil barang yang halal setelah meyakini kehalalannya dalam kadar yang perlu sahaja, dan sifat ini adalah lebih tinggi dari sifat warak.

Manakala sifat zuhud di kalangan muqarrabin (orang yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT) pula adalah dengan terus meninggalkan kenikmatan dunia; segala-galanya adalah tidak penting bagi mereka melainkan mendekati Allah SWT semata-mata.

'Berlaku zuhudlah pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya dicintai orang ramai'

Bermaksud jika seorang yang kaya itu bersifat zuhud, maka ia akan memadai dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT dan tidak bersifat tamak dengan memperbanyakkan lagi harta bendanya, atau lebih buruk lagi, apabila sifat iri hati terhadap kelebihan orang lain mula menguasai dirinya.

Orang miskin pula dikatakan bersifat zuhud apabila ia tidak meminta-minta tanpa hajat kepada orang lain sehingga menimbulkan rasa kebencian. Jika ada pemberian orang terhadapnya maka haruslah diterimanya, itu pun jika perlu dan berhajat; tetapi jika sudah cukup ada pada miliknya, maka pemberian itu harus ditolak dan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Sahabat yang dimuliakan,

Berdasarkan huraian di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa :

1. Allah SWT dan manusia akan kasih dan cinta kepada seseorang jika ia bersifat zuhud di dunia dan terhadap apa yang ada pada tangan manusia.

2. Orang yang kaya hendaklah merasa cukup dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya, dan jauhilah dari sifat tamak dan iri hati.

3. Orang yang tidak berada pula hendaklah mengelakkan dari sifat meminta-minta perkara yang tidak perlu supaya tidak timbul kebencian orang lain terhadapnya.

Oleh itu perlulah kita sentiasa mengamalkan sifat zuhud kepada dunia ini untuk mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT dan zuhud apa yang ada ditangan manusia supaya kita sentiasa dikasihi oleh manusia.

Tiga Wasiat Orang Soleh Untuk Sahabatnya

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Orang mukmin sentiasa dalam hidupnya suka memberi nasihat yang baik dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan nasihat menasihati supaya tetap bersabar di atas segala dugaan di dunia ini. Dengan terbinanya ikatan ukhuwah dan kasih sayang maka lahirlah persaudaraan kerana Allah semata-mata.

Aun bin Abdullah berkata: "Dahulu orang-orang soleh menulis surat kepada sahabatnya tiga kalimat;

Pertama : Siapa yang beramal untuk akhirat, maka Allah mencukupi segala urusan dunianya.

Kedua : Dan siapa yang memperbaiki niatnya, maka Allah akan memperbaiki zahirnya.

Ketiga : Dan sesiapa yang memperbaikki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan sesama manusia."

Huraiannya :

Pertama : Siapa yang beramal untuk akhirat, maka Allah mencukupi segala urusan dunianya.

Orang yang mengutamakan kehidupan akhirat iaitu yang menjauhkan diri daripada perbuatan dosa dan maksiat, beribadah bersungguh-sungguh dan beramal soleh akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebaliknya pula sesiapa yang mengutamakan kehidupan duniawi (tidak kira halal atau haram) dengan melakukan perbuatan yang maksiat dan melanggar perintah Allah SWT maka dia akan rugi kedua-duannya sekali iaitu di dunia dan akhirat. Hidup di dunia akan dibenci kerana akhlaknya yg buruk dan tidak amanah dan diakhirat dia akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahanam kerana dosa-dosanya samaada dosa kepada Allah SWT ataupun dosa sesama manusia.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 18-20, maksudnya : "Siapa yang menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di (dunia) ini apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya (di akhirat) Neraka Jahanam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.(18). Dan siapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh, sedang dia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik. (19). Kepada masing-masing (golongan), baik (golongan) ini (yang menginginkan dunia) maupun (golongan) itu (yang menginginkan akhirat). Kami berikan bantuan dari kemurahan Tuhanmu. Dan kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalang. (20)."

Abu Hurairah berkata: Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Akan keluar pada akhir zaman suatu kaum (golongan) yang mencari dunia dengan menjual agama, memakai pakaian bulu domba, lidah mereka lebih manis dari madu sedang hati mereka bagaikan serigala. Allah akan berfirman kepada mereka: 'Apakah terhadapKu mereka bermain-main dan melawan, dengan kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan kepada mereka fitnah ujian bala sehingga seorang yang berakal tenang akan bingung '." (Hadis Riwayat Tarmizi)

Kedua : Dan siapa yang memperbaiki niatnya, maka Allah akan memperbaiki zahirnya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Niat sesaorang mukmin lebih baik dari amal perbuatannya”

Oleh sebab itu, niat itu mendapat pahala tanpa amal, sedangkan amal tanpa niat tidak ada pahalanya.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulama telah bersepakat mengatakan bahwa setiap amalan yang dilakukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syarak dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (al-‘ibadatul maqshudah) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut dikira tidak sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:”Apabila dua orang muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka?” Jawab baginda, 'kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya '.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."

(Hadis Riwayat Tirmizi).

Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan; 'Siapa yang pernah di aniaya oleh Fulan boleh datang untuk dibayar. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku.' lalu ia bertanya: 'Apakah itu.' Jawab Tuhan: Ia itu NIAT mu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikkan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.”

Ketiga : Dan sesiapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaikki hubungannya dengan sesama manusia."

Allah Ta’ala berfirman,

وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya.” (Surah At-Talaq ayat 3)

Barangsiapa yang menyandarkan urusannya pada Allah, hanya menyandarkan kepada Allah semata, ia pun mengakui bahawa tidak ada yang boleh mendatangkan kebaikan dan menghilangkan bahaya selain Allah, maka sebagaimana dalam ayat dikatakan, “Allah-lah yang akan mencukupinya.” Iaitu Allah menyelamatkannya dari berbagai bahaya. Kerana yang namanya balasan sesuai dengan amal perbuatan. Ketika seseorang bertawakal pada Allah dengan sebenar-benarnya tawakal, Allah pun membalasnya dengan mencukupinya, iaitu memudahkan urusannya. Allah yang akan memudahkan urusannya dan tidak menyandarkan pada selain-Nya. Inilah sebesar-besarnya erti tawakkal.

Apabila seorang muslim itu menjaga hubungannya dengan Allah SWT iaitu bertawakal dan menjaga ibadahnya yang fardu, beramal soleh, meninggalkan larangan Allah SWT dan mengerjakan suruhan-Nya maka Dia akan mencampakkan hati muslim itu dengan ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan dan dihiasi dengan akhlak yang mulia. Apabila Dia mengasihi hamba-Nya tadi maka manusia lain juga akan turun mengasihinya. Ini adalah anugrah Allah SWT. kepada orang-orang yang beriman.

Semua hukum-hakam dan syariat Allah SWT adalah untuk kemaslahatan umat manusia seluruhnya apabila seorang muslim mematuhi syariat-Nya dan menjaga hubungan denganAllah SWT maka kebaikan yang akan diperolehi adalah manusia lain akan mendapat berkat dan rahmat daripada kebaikan tersebut. Secara tidak langsung akan terjalin hubungan yang baik sesama manusia.

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah sama-sama kita hayati dan amalkan nasihat-nasihat tersebut di atas dalam usha kita bermuhasabah diri kita untuk meningkatkan ilmu dan amal kita untuk menjdi mukmin yang bertakwa dan beramal soleh. Pertingkatkan hubungan hati kita kepada Allah SWT dan beramallah dengan ikhlas kepada-Nya. Anggaplah kehidupan dunia ini hanya sementara waktu sahaja dan kehidupan yang sebenarnya adalah kehidupan di hari akhirat.