Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, 6 January 2011

SIFAT TAWAKAL

Sahabat yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah al-Thalaq ayat 3).

Untuk memahami lebih jelas lagi konsep tawakal ini pernah Rasulullah S.A.W. menjelaskan kepada seorang lelaki yang datang berjumpa dengan baginda.

"Telah datang kepada Rasulullah S.A.W. seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah S.A.W. "Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal?" Rasulullah S.A.W. menjawab, maksudnya : "Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal." (Hadis Riwayat al-Tarmizi)

Sifat putus asa hanya layak bagi orang kafir. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : "... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusof ayat 87).

Allah berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."(Surah al-Ra'd ayat 11).

Sahabat yang dimuliakan,

Terdapat satu kisah di zaman Nabi Sulaiman a.s. bagaimana seekor semut bertawakal kepada Allah S.W.T dan kita boleh belajar daripada daripada kisah ini.

Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebutir gandum.

Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam sebuah botol dengan di letakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup (diberi lubang sikit untuk udara masuk ke dalamnya).

Cukup tempuh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar sebutir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.

Nabi Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebutir gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.

Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan jadi padanya?

Pengajaran yang boleh di perolehi :

1. Semut lebih yakin kepada jaminan Allah (bertawakal kepada Allah) ketika di luar botol berbanding "jaminan" manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah ia mengambil langkah berjimat cermat, supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan dia masih mampu bertahan. Masih ada makanan yang boleh digunakan.

2. Kenapa kita yang berada di dunia ini yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T. tetapi masih ragu-ragu tentang jaminan rezeki dari Allah S.W.T.? Oleh itu yakinilah dengan sepenuh hati bahawa setiap anak yang lahir ke dunia, Allah s.w.t. telah menjamin rezeki untuknya, samaada ibu-bapanya merancang atau tidak merancang untuk anak tersebut.

Sahabat,

Seseorang yang mempunyai sifat putus asa hanya boleh di atasi apabila individu tersebut melawan unsur negatif dalam dirinya dengan azam yang kuat dan tawakal kepada Allah. Oleh itu terdapat beberapa langkah yang perlu di ambil perhatian serius untuk mengatasi sifat putus asa ianya adalah seperti berikut :

1.Tawakal dengan sepenuh hati

2. Yakin dengan janji Allah dan reda dengan segala ketentuan-Nya.

3.Semangat juang yang tinggi (strong will).

4.Jangan fikir kesusahan akan berpanjangan kerana ia akan menyuburkan sifat putus asa.

5. Ingatlah bahawa Allah mempunyai sifat-sifat yang harus iaitu harus melakukan apa saja. Oleh sebab itu, kita sebagai hamba tidak layak merasa putus asa atau apa jua ketetapan Allah untuk kita kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil dalam setiap perancangan-Nya.

6. Putus asa bukan jalan keluar daripada sebarang masaalah.

Akhir kata marilah sama-sama kita bertawakal kepada Allah S.W.T. tanpa ragu-ragu dan membuangkan segala sifat mazmumah terutama sifat putus asa .Kerana sesungguhnya orang yang beriman tidak akan mempersoalkan ketentuan Allah, ingatlah segala apa yang ditetapkan Allah ke atas diri kita adalah sesuatu yang baik dan ada hikmahnya dan Allah Maha Mengetahui sedangkan kita tidak mengetahuinya.

Friday, 31 December 2010

9 PUNCA KEIMANAN MEROSOT

Sahabat yang dirahmati Allah,

Iman seorang muslim adakala kuat dan adakalanya lemah. Ianya turun naik setiap masa bergantung pada kehidupan dan keadaan seseorang itu. Ketika seseorang ditimpa dengan berbagai masaalah kehidupan dan diuji dengan berbagai musibah maka ketika ini biasanya iman akan menjadi lemah kerana timbul rasa gelisah dan keluh kesah.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Iman itu naik dan turun, maka sentiasa perbaharui iman kamu".

Tetapi, kebanyakan daripada kita mentafsirkan hadis tersebut bahawa sekiranya berlaku kelemahan diri kita, kita mengatakan sememangnya iman itu ada masa naik dan ada masa turun. Sepatutnya kita merasakan bahawa sekiranya tahap iman kita rendah kita berusaha untuk meningkatkannya.

Tapi kita lupa hal terpenting yang harus kita ambil dari hadis itu, iaitu apakah tindakan selanjutnya apabila mendapati iman kita semakin turun, maka tidak seharusnya kita membiarkannya turun. Kita harus memperbaharuinya dan ini boleh dilakukan dengan banyak cara.

Sahabat yang dimuliakan,

Istilah futur adalah merujuk kepada kemerosotan atau kemalapan yang berlaku pada keimanan atau keislaman seseorang. Futur adalah satu penyakit. Seseorang yang dihinggapi penyakit ini akan lemah dalam melaksanakan tanggungjawab yang di amanahkan oleh Allah S.W.T.

Terdapat 9 faktur jika wujud dalan diri seseorang sebenarnya dia sedang mengalami futur, ketika inilah perlu kita bertindak segera untuk meningkatkan semulai iman kita ketahap yang biasa atau lebih tinggi lagi. Perkara-perkara tesebut adalah seperti berikut :

1. Malas beribadah.

Sering melewat-lewatkan waktu solat. Kadangkala sehingga terlepas waktunya tanpa disedari. Malas solat sunat , berzikir dan membaca al-Quran . Menghabiskan banyak masa untuk tidur, berbual kosong atau melayan hobi yang kurang manfaatnya.

Betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya. Renungkan hadis Rasulullah S.A.W. di bawah yang menghalang perbuatan tersebut .

Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah S.A.W. mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda " Iaitu mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu solat lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu solatnya, maka mereka diancam dengan Neraka Wail".

2. Tidak ada perasaan takut mengenai kematian.

Apabila hati tidak langsung mengingati kemataian ini bermakna iman sedang ditahap yang lemah. Oleh itu kita digalakkan menziarahi orang mati dan menziarahi kubur sebagai ubat agar hati dapat mengambil pengajaran daripada kematian. Hati orang mukmin sentiasa mengingati kematian sebagai satu cara untuk membersihkan hatinya.

Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

3. Melakukan maksiat samaada kecil atau besar.

Lebih teruk lagi apabila maksiat sudah menjadi kebiasaan dan bergembira dengan maksiat.

Sabda Nabi S.A.W maksudnya : " Barang siapa di antaramu melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya (mencegah) dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak sanggup, maka dengan lisannya (nasehat), dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya (merasa tak
senang dan tak setuju, tinggalkan !) dan itu adalah selemah-lemahnya Iman. "
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas jika seseorang itu tidak rasa bersalah dengan maksiat yang dilakukan dan gembira pula maka sebenarnya sedikit pun iman tidak ada didalam hatinya.

4. Suka melihat atau menyaksikan maksiat.

Zina mata adalah mata suka melihat maksiat dilakukan oleh orang lain. Memerhatikan aurat wanita yang bukan mahram dan juga melihat filem-filem lucah atau gambar-gambar seksi adalah maksiat yang dibuat oleh mata, dari mata akan turun ke hati dan hati akan hilang kemanisan beribadah kepada Allah S.W.T.

5. Ukuwah menjadi longgar.

Sifat orang mukmin adalah sentiasa baik sangka kepada saudaranya yang lain. Dia cinta dan kasih pada saudaranya semata-mata kerana Allah. Dia datang berziarah adalah semata-mata kerana Allah dan bukan diatas sebab-sebab ada kepentingan duniawi kerana harta atau kerana hubungan keluarga.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah S.A.W. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari Qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Orang mukmin akan mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Jika perasaan kasih sayang dan ukhwah menjadi longgar ini petanda imannya sedang lemah.

6. Ghairah kepada dunia.

Sebuk dengan dunia hingga membuang masa dengan kerja-kerja yang tak berfaedah.

Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.”

(Surah Al-A’laa: 16-17)

Apabila seseorang sibuk dengan hal-hal dunia seperti hiburan yang melalaikan , hanya memikirkan nak besarkan rumah, perabut yang mahal-mahal, kereta mewah, untuk mengaut keuntungan dan bekerja siang malam , jika kesemua ini menjejaskan berhubungannya dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, sebenarnya dia sedang ghairah dan mabuk dengan dunia.

Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”

(Surah At-Takaatsur ayat 6)

7. Berbangga dengan kemajuan duniawi.

Islam tidak menghalang kemajuan duniawi dengan bangunan yang mencakar langit, kemajuan sains dan teknologi. Tetapi Islam amat menitik beratkan nilai-nilai rohani dan jika nilai rohani dan akhlak yang mulia diabaikan dan lebih mengutamakan kemajuan duniawi maka ianya dilarang. Dibarat dan Jepun terlalu mengutamakan kemajuan tetapi mengabaikan nilai-nilai moral manusia akibatnya mereka menuju kepada kehancuran.

Qarun, kaum 'Ad, kaum Samud dan kaum Luth semua mereka maju dengan pembangunan material tetapi mereka engkar dengan perintah Allah yang bawa oleh para Rasul maka mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

(Surah at-Taubah ayat 24)

8. Lemah atau tidak bersedia dengan kerja-kerja amal Islam.

Jika timbul perasaan malas bekerja untuk amal Islam dan sanggup membiarkan kerosakkan masyarakat berlaku tanpa di jalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah maka ini adalah petanda futur sedang melanda seorang da'i atau seorang pekerja Islam. Kerja-kerja amal makruf nahi mungkar perlu dijalankan tanda kita menyahut seruan Allah S.W.T.

9. Menangguh-nangguhkan kerja.

Apa sahaja kerja yang membawa kebaikan dan amal soleh tidak boleh ditangguh-tangguhkan.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."

(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita tingkatkan iman kita kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan semua suruhanNya dan meninggalkan semua larangan-Nya. Jika salah satu sifat diatas wujud pada diri kita sebenarnya kita sedang futur atau lemah iman maka perlulah kita perbaiki segera. Peruntukkanlah masa kita untuk berjumpa orang-orang soleh untuk menimba ilmu pengetahuan dan tarbiyah. Perbanyakkanlah membaca al-Quran, berzikir dan solat tahajud supaya kita dapat perbaiki iman dan jiwa kita yang lemah menuju kepada kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya Muhammad S.A.W.