Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, 24 June 2012

Manusia Di Beri Pilihan Sama ada Untuk Menerima Yang Benar Atau Yang Batil


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia diberi pilihan oleh Allah SWT di dunia ini samaada dia memilih jalan yang lurus (jalan yang benar) atau dia memilih jalan yang bengkuk.(jalan yang batil)

Allah SWT telah mengutus para rasul dimuka bumi ini kepada setiap umat dengan membawa ajaran suci dan mengajak manusia beriman dan mentauhidkan Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Setelah ajaran para rasul  ini sampai kepada manusia maka manusia sendiri akan bertanggungjawab di atas keingkarannya menerima kebenaran.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah Al-Israa' (17) ayat 15)

Kalaulah Allah perlakukan sebagaimana yang Dia kehendaki iaitu menyesatkan, mengapa pula Allah SWT utuskan para rasul dan kitab? Apakah Allah SWT tidak pernah utuskan para rasul? Sehingga manusia tidak tahu apa yang harus dilakukan atau harus ditinggalkan?. Allah SWT ada menyatakan bahawa Dia tidak akan mengazab sesiapa selagi belum diutuskan para rasul.

Dalam al-Quran ada diberitahu bahawa tidak ada satu kaum pun yang tidak diutuskan rasul.
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran. 
(Surah Faatir (35) ayat 24)

Sahabat yang dimuliakan,
Pada zaman Saidina Umar Ibnul Khattab menjadi khalifah seorang pencuri telah tertangkap ketika mencuri, lalu dihadapkan ke hadapan Umar untuk diadili.

Saidina Umar al-Khattab r.a. bertanya :  "Kenapa kamu mencuri?"

Lalul dijawab oleh pencuri; "Ya Amirul Mukminin! Aku mencuri kerana Allah telah takdirkan aku mencuri, lalu aku mencuri".

Umar pun memerintahkan sahabat supaya memotong tangan orang ini dan menyebatnya. Pencuri tidak puas hati dan bertanya : "Mana ada hukuman seperti ini di dalam al-Quran? Dalam al-Quran hanya ada perintah potong tangan"

Saidina Umar r.a menjawab: "Potong tangan kerana kamu mencuri dan sebat kerana kamu berdusta terhadap Allah, kamu jadikan qadar dan qada sebagai alasan (menyalahkan takdir Allah)".

Perkara yang sering kita dengar: Bila orang berjaya dalam satu-satu perkara seperti dalam perniagaan bila ditanya sebab-sebab berjaya dia kata dia telah berusaha bersungguh-sungguh dan membuat pengurusan yang baik, tetapi bila mendapat muflis dia akan kata nak buat macam mana sudah takdir.

Begitu juga orang yang sihat, bila ditanya apa formula dia sihat maka  dia akan jawab, dia jaga kesihatan dengan menjaga makanan, bersenam dan macam-macam lagi. Bila sakit dia akan kata nak buat macam mana sudah takdir. Ucapan tersebut seolah-olah bila berlaku sesuatu yang tidak baik akan di nisbahkan kepada Allah SWT (Maha Suci Allah daripada berbuat begitu), jika terdapat kebaikan dinisabhkan pula kepada diri sendiri.

Baik dan tidak baik semuanya ketentuan Allah SAW. Manusia kena buat pilihan. Penjelasan Umar dalam  kisah di atas adalah tentang membuat pilihan. Dua-dua qada Allah SWT, jika dinisbahkan perkara tidak baik kepada Allah SWT; itu adalah satu pendustaan terhadap Allah SWT. Lihat dalam ayat di bawah:

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?" (Surah al-A'raaf (7) ayat 28)

Allah SWT beri kita kemampuan untuk melakukan perkara-perkara yang diperintahkan.

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ

Maksudnya : "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. 
(Surah al-Baqarah ayat 286)

Dengan sebab itu, apabila Allah SWT memberi kita tanggungjawab atau tugas maka Dia Maha Mengetahui bahawa kita berkemampuan untuk melakukannya kemudian diberi pula kebebasan untuk  memilih maka apabila berlaku perkara-perkara yang tidak elok kita perlu menyalahkan diri kita sendiri (kerana kelemahan dan kejahilan kita).

Sahabat yang dikasihi,
Pepatah melayu ada menyatakan :"Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih" Jika kita berhajat kepada kebaikan, mendapat rahmat dan reda daripada Allah SWT di dunia dan akhirat maka kitalah yang harus berusaha untuk mendapatkannya. Janji Allah SWT sekiranya para hamba-Nya ketika di dunia beramal ibadah, amal soleh, berakhlak mulia dan tidak mensyirikkan-Nya maka balasannya adalah syurga seluas langit dan bumi. 

Oleh itu kalian perlulah "tepuk dada tanya iman dan mata hati kalian" jika kalian tunaikan semua hak yang wajib kalian tunaikan di dunia ini maka hasilnya kalian sendiri yang akan memperolehinya bukan orang lain, sebaliknya jika kalain leka, lalai dan abaikan amanah ini maka azab dan penderitaan yang berpanjangan akan diterima di akhirat nanti. Pilihan yang tepat ada ditangan kalian insya Allah.

Friday, 25 May 2012

KERAS KEPALA DAN SUKA BERTENGKAR MERUGIKAN KITA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


 بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 


 Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. Sahabat yang dirahmati Allah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : 


“Orang laki-laki yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang keras kepala lagi suka bertengkar.”


 (Hadis Riwayat Muslim) Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa ada dua sifat manusia yang paling dibenci oleh Allah SWT iaitu : 


 Pertama : Keras kepala Kedua
                : Suka bertengkar.


 Huraiannya :
 Pertama : Keras kepala.


 Penyakit keras kepala atau degil adalah sifat iblis laknatullah. Iblis merasa dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam a.s. kerana dia diciptakan daripada api sedangkan Adam diciptakan daripada tanah. Iblis keras kepala tidak mahu tunduk kepada perintah Allah SWT dan dia tetap berdegil dengan pendapatnya sendiri dan tidak mematuhi arahan Allah SWT. Sifat keras kepala ini sebenarnya beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego.


 Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan sifat-sifat ini adalah sifat penghuni neraka. Allah SWT berfirman yang bermaksudnya :


 “(Iblis) menjawab, Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku selalu menghalangi mereka daripada jalanMu yang lurus. Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur” (Surah al-A’raf ayat 16-17)


 Ini menunjukkan bahawa kekufuran iblis bukanlah kerana kejahilan bahkan kekufurannya kerana keras kepala dan sombong. Sabda Nabi SAW maksudnya:


 "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (Hadis Riwayat Muslim)


 Jika kita lihat di dalam masyarakat kita adakah kita bertemu dengan orang yang bersifat keras kepala? Ya, kita akan bertemu dengan ramai manusia yang bersifat keras kepala, degil , ego dan sombong. Sifat keras kepala ini salah satu sifat mazmumah yang membawa dosa besar selepas kufur. Bahkan dari keras kepala, seseorang itu boleh jadi kufur apabila ego dan kesombongannya itu sudah besar. Dari sifat ini melahirkan lebih banyak mazmumah-mazmumah yang lain. Dari satu mazmumah, beranak-anak mazmumah yang lain. Seolah-olah sifat keras kepala itu bukan buah lagi tetapi ia adalah pokok kejahatan dalam hati manusia, yang akan melahirkan buah-buah kejahatan, yang berduri, kelat dan beracun. Dari sini akan melahirkan sifat pemarah, dendam dan susah terima kebenaran. Dari situ juga melahirkan kezaliman sesama manusia. Sudah berapa banyak sifat yang dilahirkan oleh keras kepala yang bukan sahaja merosakkan dirinya bahkan mengharu-birukan kehidupan, memecahbelahkan rumah tangga, masyarakat, antara etnik dengan etnik, bangsa dengan bangsa dan akhirnya mencetuskan peperangan. 


 Biasanya orang yang keras kepala adalah terdiri daripada orang-orang kaya, golongan bangsawan, hartawan dan pemimpin masyarakat. Setiap para Rasul yang telah diutuskan kepada kaumnya, majoriti yang menolak dakwah para rasul adalah terdiri daripada mereka yang menjadi penguasa dan pemimpin masyarakat dan mereka terdiri daripada golongan hartawan dan bangsawan, sedangkan yang menjadi pengikut setia para rasul adalah golongan miskin yang sentiasa ditindas. Pintu hati orang yang keras kepala telah tertutup untuk menerima kebenaran. Jika diminta untuk beriman kepada Allah SWT mereka enggan beriman, begitu juga jika diminta berhukum dengan hukum-hukum Allah SWT, mereka memberi macam-macam alasan .


 Contoh alasannya sekarang zaman moden mereka mengatakan hukum-hukum Allah SWT tidak sesuai dengan masyarakat majmuk, jika hukum rejam dijalankan keatas orang yang berzina maka akan habis batu-batu JKR untuk membuat jalan raya, jika hukum potong tangan dijalankan maka umat Islam akan dipandang hina oleh agama lain disebabkan ramai tangan-tangan umat Islam kodong kerana telah dipotong tangan kerana mencuri. Nauzubillahiminzalik! ini sebenarnya jawapan orang-orang fasik dan munafik dan mereka kufur dengan ayat-ayat Allah SWT, kerana mempermain-mainkan hukum-hukum Allah SWT seolah-olah Dia telah berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.


Hukum-hukum Islam adalah hukum yang paling sesuai di zaman mana sekali pun sehingga kehari kiamat, hanya perlaksanaannya sahaja perlu kepada masa dan peringkat demi peringkat. Dalam surah Nuh jelas menunjukkan bahawa orang yang keras kepala tetap tidak mahu beriman walaupun Nabi Nuh a.s berdakwah siang dan malam hampir 1000 tahun. Firman Allah SWT maksudnya :


 "Dan sesungguhnya aku setiap kali menyeru mereka (untuk beriman) agar Engkau mengampunkan mereka, mereka memasukkan anak jarinya ketelinganya dan menutupkan bajunya (kewajahnya) dan mereka tetap (mengingkari) dan sangat menyombongkan diri." (Surah Nuh ayat 7)


 Nabi Nuh a.s telah habis kesabaran lalu berdoa kepada Allah SWT agar Dia menurunkan azab-Nya di atas kaumnya yang keras kepala seraya berseru:


"Ya Allah! Janganlah Engkau biarkan seorang pun daripada orang-orang kafir itu hidup dan tinggal di atas bumi ini. Mereka akan berusaha menyesatkan hamba-hamba-Mu, jika Engkau biarkan mereka tinggal dan mereka tidak akan melahirkan dan menurunkan selain anak-anak yang berbuat maksiat dan anak-anak yang kafir seperti mereka." (Surah Nuh ayat 26-27)


 Doa Nabi Nuh dikalbulkan oleh Allah SWT dan permohonannya diluluskan dan tidak perlu lagi menghiraukan dan mempersoalkan kaumnya, kerana mereka itu akan menerima hukuman Allah dengan mati tenggelam di dalam banjir besar yang diturunkan oleh Allah SWT. Kedua : Suka bertengkar. Sabda Nabi SAW yang bermaksud ;


 "Mahukah kamu semua aku beritahu( sifat-sifat) ahli syurga? Para sahabat menjawab. "Ya", baginda bersabda," Setiap orang lemah dilemahkan, andainya dia meminta kepada Allah, nescaya Allah mengkabulkannya. Mahukah aku beritahu (sifat-sifat) ahli neraka? Setiap orang yang suka bertengkar dengan kasar ('utul) , berlagak (jawwaz) dan sangat sombong (mustakbir) (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


 Orang yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri (menegakkan benang yang basah) adalah orang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Sifat ini berlaku disebabkan hatinya sakit dan keras disebabkan dosa-dosa yang menutup pintu hati. Bila melakukan maksiat sudah tidak terasa bahawa maksiat itu adalah perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Nabi SAW bersabda maksudnya : 


"Jangan terlalu banyak berbicara selain menyebut Allah. Sebab mereka yang banyak berbicara selain menyebut Allah akan mengeraskan hati. Sesungguhnya manusia yang paling jauh daripada Allah ialah pemilik hati yang keras." (Hadis Riwayat Tirmizi daripada Ibnu Umar) 


 Sahabat yang dimuliakan, Marilah sama-sama kita menjauhkan diri kita daripada sifat keras kepala dan suka bertengkar kerana kedua-dua sifat ini sangat dibenci oleh Allah SWT. Jika Allah SWT membenci sifat-sifat ini maka Dia tidak akan memberi taufik dan hidayah dan rahmat-Nya kepada sesiapa yang memiliki sifat-sifat ini. Wujudnya kedua-dua sifat ini adalah tanda hati seseorang sedang sakit, keras dan mati.