Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, 30 September 2012

DAKWAH DI KALANGAN NON MOSLEM...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Mengucap dua kalimah syahadah merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam. Apabila dinyatakan dengan kuat secara ikhlas, seseorang itu secara rasmi dianggap mengisytiharkan diri sebagai penganut baru Islam.

 لا إله إلا الله محمد رسول الله

La ilaha illallahu Muhammadun Rasulullah.

Bermaksud :"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.”

Pengucapan syahadah secara jujur, dalam bahasa arab, di hadapan dua orang saksi muslim, adalah cukup untuk seorang menjadi seorang Islam.

Bagi seseorang yang bukan Islam mengucapkannya beserta kepercayaan di dalam hati, maka terpelihara diri, harta dan nyawa seperti orang Islam.

Syarat bagi sahnya syahadah adalah:

1. Tertib lafaz syahadah seperti yang dinyatakan.

2. Melafazkan kedua-dua kalimah syahadah dengan berturut-turut (tanpa diselangi perbuatan lain)

3. Mamahami makna kedua-duanya.

4. Mendustakan perkara yang menyalahi atau bertentangan dengan maksud syahadah.

5. Menggunakan perkataan "asyhadu" (ﺃَﺷْﻬَﺪُ) pada keduanya.Tidak syak atau ragu-ragu akan kedua-duanya.

Setelah seseorang mengucapkan syahadah maka wajib bagi beliau menunaikan hak kalimah. Hak kalimah adalah untuk disebarkan kepada mereka yang tidak mengucapkan kalimah ini (orang bukan Islam) dengan menerangkan kepada mereka maksud kalimah iaitu Tiada Tuhan selain Allah, Tiada yang Berkuasa selain Allah, Tiada yang beri faedah dan bahaya selain Allah dan Muhammad SAW  itu pesuruh Allah sehingga mereka yakin dan tanpa paksaan mereka mengucap syahadah. Inilah dakwah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sebelum datang perintah solat dan perintah-perintah yang lain.

Dakwah bermaksud untuk menyatakan dan  menyampaikan kebenaran. Allah SWT telah memerintahkan kita untuk menyatakan atau menyampaikan  kalimah syahadah kepada mereka yang belum mengucapkan kalimah mulia ini. 

Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Aku. Rahmat-Ku sudah mendahului kemurkaan-Ku. Barang sesiapa yang naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya berhak disembah kecuali Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, nescaya ia berhak mendapat syurga.”  (Hadis riwayat al-Daimali).

Melaksanakan kerja-kerja dakwah adalah perintah pertama Allah SWT dan itu adalah yang paling mudah untuk dilakukan. Satu-satunya prasyarat untuk melakukan dakwah, ialah memahami maksud yang terkandung di dalam kalimah ini. Ia tidak memiliki prasyarat lain selain mengetahui tujuan dan fungsi kalimah syahadah. Seseorang selepas membaca kalimah ini  mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikannya  kepada orang lain yang belum mengucapkan kalimah syahadah ini. 

Nabi Muhammad SAW mengatakan dalam satu hadis yang bermaksud, "Sampaikan dariku walaupun  hanya satu ayat". (Hadis Riwayat Bukhari).

Perintah pertama Allah adalah untuk menyampaikan kalimah syahadah kepada mereka yang belum menerima kalimah ini. Inilah tugas dan amanah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat semasa mereka mengajak kaumnya , ahli keluarga dan sahabat handai untuk menerima dan yakin kepada kalimah syahadah.

Sahabat yang dimuliakan,
Ramai di kalangan umat Islam merasakan bahawa tugas menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam adalah tanggungjawab Jabatan Agama, Pendakwah Bebas, NGO Islam, PERKIM dan para ulama sahaja sedangkan mereka berpeluk tubuh tidak membuat apa-apa kerja dakwah, itulah sebabnya kenapa orang Cina (beragama budha) dan orang India (beragama hindu) tinggal sekampung dengan masyarakat Islam (melayu) tidak faham agama Islam. Mereka hanya tahu bahawa orang Islam tidak makan daging khinzir, tidak minum arak dan berkhatan, tidak lebih daripada itu.

Umat Islam perlu kepada anjakan paradigma iaitu berubah daripada takuk lama kepada kefahaman Islam yang syumul, lengkap dan sempurna. Islam bukan agama ritual semata-mata tetapi Islam bersifat dinamik dan prograsif dan membawa kebaikan untuk seluruh alam. Jika Islam dihayati dan di amalkan sepenuhnya ianya membawa kemaslahatan dan kebaikan samaada kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Jika kita berdiam diri tidak berdakwah kepada orang bukan Islam samaada mereka sebagai jiran sekampung/se taman (perumahan), rakan pejabat atau pelangan kita dalam urusan harian tidak pernah kita mengajak kepada Islam kita bimbang mereka akan dakwa kita di akhirat nanti. Apabila mereka ditanya kenapa mereka tidak beriman kepada Allah dan Rasulullah SAW dan tidak mengambil Islam sebagai agama, mereka akan berkata bahawa mereka tidak pernah diajak kepada Islam oleh jiran dan rakan-rakan mereka yang muslim yang tinggal sekampung / setaman atau sepejabat. Adakah ketika ini kita mempunyai alasan untuk menafikannya?

Memang benar hidayah dan taufik itu hak Allah SWT, Dia akan memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya tetapi tugas dakwah adalah tanggungjawab kita semua. Kita akan terlepas dari memberi alasan jika kita berdakwah dan mengalas tanggungjawab ini kerana kita tidak di tanya kenapa mereka tak mahu terima Islam.

Sahabat yang dihormati,
Allah SWT akan memberikan pahala yang besar kepada kita semua jika dengan izin-Nya, orang yang bukan Islam menerima hidayah dan taufik di sebabkan usaha-usaha kita.

Rasulullah SAW  bersabda:

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُوْرِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ 

مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ 


مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثاَمِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya : “Barang siapa mengajak kepada hidayah maka ia memperoleh pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan barang siapa mengajak kepada kesesatan maka ia akan mendapat dosa seperti dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun dosa mereka.”
(Hadis diriwayatkan oleh Muslim (8/62), Abu Dawud (2/262), at-Tirmidzi (2/112), ad-Darimi (1/126—127), Ibnu Majah (1/91), dan Ahmad (2/397) (Al-Albani berkata tentang hadis ini dalam as-Silsilah ash-Shahihah (2/548).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Demi Allah! Jika Allah memberikan hidayah (kepada) seseorang dengan perantara dakwahmu, itu lebih baik bagimu dari seekor unta merah" (Hadis  riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdakwah dan menyampaikan kebenaran Islam kepada sesiapa sahaja samaada orang Islam dan bukan Islam adalah merupakan pintu-pintu kebaikan dan peluang-peluang pelaburan yang besar untuk hari akhirat . Jika kita berfikir bagaimana ingin menjana pendapatan di dunia maka kita juga jangan lupa bagaimana untuk menjana pendapatan dan keuntungan di akhirat. Jika boleh lebihkan untuk akhirat berbanding untuk dunia.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya ada di antara manusia, orang-orang yang menjadi kunci-kunci kebaikan, penutup-penutup keburukan. Dan ada juga sebagian orang yang menjadi kunci-kunci keburukan, penutup-penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah jadikan sebagai pembuka pintu kebaikan, dan sungguh celakalah orang yang Allah jadikan dia sebagai pembuka pintu keburukan." (Hadis Riwayat Ibnu Majah, dihasankan oleh al-Albani dalam ash-Shahihah [1332])

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama kita berusaha untuk melengkapkan diri kita untuk menjadi pendakwah Islam berkualiti dengan meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam, kemudian pada masa yang sama kita sampaikan Islam walaupun satu ayat atau nasihat yang baik kepada sesiapa sahaja yang berada disekeliling kita samaada ahli keluarga, jiran tetangga , rakan-rakan Islam dan khususnya orang bukan Islam dan masyarakat seluruhnya. 

Ingatlah seorang Pegawai Pemasaran yang bijak akan menggunakan sedikit modal, 'work smart' dan mendapat untung besar . Begitu juga pendakwah yang bijak akan mencari jalan-jalan dakwah yang nampak kecil (seperti berdakwah kepada orang bukan Islam) tetapi mempunyai nilai pahala yang besar di sisi Allah SWT. Bayangkan jika seseorang terima Islam (dengan izin Allah) kerana usaha kita pahala yang dibuat oleh orang tersebut hingga keseluruhan keturunannya hingga hari kiamat kita akan mendapat sahamnya (seperti multi level marketing).

Sunday, 24 June 2012

Manusia Di Beri Pilihan Sama ada Untuk Menerima Yang Benar Atau Yang Batil


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia diberi pilihan oleh Allah SWT di dunia ini samaada dia memilih jalan yang lurus (jalan yang benar) atau dia memilih jalan yang bengkuk.(jalan yang batil)

Allah SWT telah mengutus para rasul dimuka bumi ini kepada setiap umat dengan membawa ajaran suci dan mengajak manusia beriman dan mentauhidkan Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Setelah ajaran para rasul  ini sampai kepada manusia maka manusia sendiri akan bertanggungjawab di atas keingkarannya menerima kebenaran.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah Al-Israa' (17) ayat 15)

Kalaulah Allah perlakukan sebagaimana yang Dia kehendaki iaitu menyesatkan, mengapa pula Allah SWT utuskan para rasul dan kitab? Apakah Allah SWT tidak pernah utuskan para rasul? Sehingga manusia tidak tahu apa yang harus dilakukan atau harus ditinggalkan?. Allah SWT ada menyatakan bahawa Dia tidak akan mengazab sesiapa selagi belum diutuskan para rasul.

Dalam al-Quran ada diberitahu bahawa tidak ada satu kaum pun yang tidak diutuskan rasul.
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran. 
(Surah Faatir (35) ayat 24)

Sahabat yang dimuliakan,
Pada zaman Saidina Umar Ibnul Khattab menjadi khalifah seorang pencuri telah tertangkap ketika mencuri, lalu dihadapkan ke hadapan Umar untuk diadili.

Saidina Umar al-Khattab r.a. bertanya :  "Kenapa kamu mencuri?"

Lalul dijawab oleh pencuri; "Ya Amirul Mukminin! Aku mencuri kerana Allah telah takdirkan aku mencuri, lalu aku mencuri".

Umar pun memerintahkan sahabat supaya memotong tangan orang ini dan menyebatnya. Pencuri tidak puas hati dan bertanya : "Mana ada hukuman seperti ini di dalam al-Quran? Dalam al-Quran hanya ada perintah potong tangan"

Saidina Umar r.a menjawab: "Potong tangan kerana kamu mencuri dan sebat kerana kamu berdusta terhadap Allah, kamu jadikan qadar dan qada sebagai alasan (menyalahkan takdir Allah)".

Perkara yang sering kita dengar: Bila orang berjaya dalam satu-satu perkara seperti dalam perniagaan bila ditanya sebab-sebab berjaya dia kata dia telah berusaha bersungguh-sungguh dan membuat pengurusan yang baik, tetapi bila mendapat muflis dia akan kata nak buat macam mana sudah takdir.

Begitu juga orang yang sihat, bila ditanya apa formula dia sihat maka  dia akan jawab, dia jaga kesihatan dengan menjaga makanan, bersenam dan macam-macam lagi. Bila sakit dia akan kata nak buat macam mana sudah takdir. Ucapan tersebut seolah-olah bila berlaku sesuatu yang tidak baik akan di nisbahkan kepada Allah SWT (Maha Suci Allah daripada berbuat begitu), jika terdapat kebaikan dinisabhkan pula kepada diri sendiri.

Baik dan tidak baik semuanya ketentuan Allah SAW. Manusia kena buat pilihan. Penjelasan Umar dalam  kisah di atas adalah tentang membuat pilihan. Dua-dua qada Allah SWT, jika dinisbahkan perkara tidak baik kepada Allah SWT; itu adalah satu pendustaan terhadap Allah SWT. Lihat dalam ayat di bawah:

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?" (Surah al-A'raaf (7) ayat 28)

Allah SWT beri kita kemampuan untuk melakukan perkara-perkara yang diperintahkan.

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ

Maksudnya : "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. 
(Surah al-Baqarah ayat 286)

Dengan sebab itu, apabila Allah SWT memberi kita tanggungjawab atau tugas maka Dia Maha Mengetahui bahawa kita berkemampuan untuk melakukannya kemudian diberi pula kebebasan untuk  memilih maka apabila berlaku perkara-perkara yang tidak elok kita perlu menyalahkan diri kita sendiri (kerana kelemahan dan kejahilan kita).

Sahabat yang dikasihi,
Pepatah melayu ada menyatakan :"Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih" Jika kita berhajat kepada kebaikan, mendapat rahmat dan reda daripada Allah SWT di dunia dan akhirat maka kitalah yang harus berusaha untuk mendapatkannya. Janji Allah SWT sekiranya para hamba-Nya ketika di dunia beramal ibadah, amal soleh, berakhlak mulia dan tidak mensyirikkan-Nya maka balasannya adalah syurga seluas langit dan bumi. 

Oleh itu kalian perlulah "tepuk dada tanya iman dan mata hati kalian" jika kalian tunaikan semua hak yang wajib kalian tunaikan di dunia ini maka hasilnya kalian sendiri yang akan memperolehinya bukan orang lain, sebaliknya jika kalain leka, lalai dan abaikan amanah ini maka azab dan penderitaan yang berpanjangan akan diterima di akhirat nanti. Pilihan yang tepat ada ditangan kalian insya Allah.