Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, 31 December 2010

9 PUNCA KEIMANAN MEROSOT

Sahabat yang dirahmati Allah,

Iman seorang muslim adakala kuat dan adakalanya lemah. Ianya turun naik setiap masa bergantung pada kehidupan dan keadaan seseorang itu. Ketika seseorang ditimpa dengan berbagai masaalah kehidupan dan diuji dengan berbagai musibah maka ketika ini biasanya iman akan menjadi lemah kerana timbul rasa gelisah dan keluh kesah.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Iman itu naik dan turun, maka sentiasa perbaharui iman kamu".

Tetapi, kebanyakan daripada kita mentafsirkan hadis tersebut bahawa sekiranya berlaku kelemahan diri kita, kita mengatakan sememangnya iman itu ada masa naik dan ada masa turun. Sepatutnya kita merasakan bahawa sekiranya tahap iman kita rendah kita berusaha untuk meningkatkannya.

Tapi kita lupa hal terpenting yang harus kita ambil dari hadis itu, iaitu apakah tindakan selanjutnya apabila mendapati iman kita semakin turun, maka tidak seharusnya kita membiarkannya turun. Kita harus memperbaharuinya dan ini boleh dilakukan dengan banyak cara.

Sahabat yang dimuliakan,

Istilah futur adalah merujuk kepada kemerosotan atau kemalapan yang berlaku pada keimanan atau keislaman seseorang. Futur adalah satu penyakit. Seseorang yang dihinggapi penyakit ini akan lemah dalam melaksanakan tanggungjawab yang di amanahkan oleh Allah S.W.T.

Terdapat 9 faktur jika wujud dalan diri seseorang sebenarnya dia sedang mengalami futur, ketika inilah perlu kita bertindak segera untuk meningkatkan semulai iman kita ketahap yang biasa atau lebih tinggi lagi. Perkara-perkara tesebut adalah seperti berikut :

1. Malas beribadah.

Sering melewat-lewatkan waktu solat. Kadangkala sehingga terlepas waktunya tanpa disedari. Malas solat sunat , berzikir dan membaca al-Quran . Menghabiskan banyak masa untuk tidur, berbual kosong atau melayan hobi yang kurang manfaatnya.

Betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya. Renungkan hadis Rasulullah S.A.W. di bawah yang menghalang perbuatan tersebut .

Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah S.A.W. mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda " Iaitu mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu solat lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu solatnya, maka mereka diancam dengan Neraka Wail".

2. Tidak ada perasaan takut mengenai kematian.

Apabila hati tidak langsung mengingati kemataian ini bermakna iman sedang ditahap yang lemah. Oleh itu kita digalakkan menziarahi orang mati dan menziarahi kubur sebagai ubat agar hati dapat mengambil pengajaran daripada kematian. Hati orang mukmin sentiasa mengingati kematian sebagai satu cara untuk membersihkan hatinya.

Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

3. Melakukan maksiat samaada kecil atau besar.

Lebih teruk lagi apabila maksiat sudah menjadi kebiasaan dan bergembira dengan maksiat.

Sabda Nabi S.A.W maksudnya : " Barang siapa di antaramu melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya (mencegah) dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak sanggup, maka dengan lisannya (nasehat), dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya (merasa tak
senang dan tak setuju, tinggalkan !) dan itu adalah selemah-lemahnya Iman. "
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas jika seseorang itu tidak rasa bersalah dengan maksiat yang dilakukan dan gembira pula maka sebenarnya sedikit pun iman tidak ada didalam hatinya.

4. Suka melihat atau menyaksikan maksiat.

Zina mata adalah mata suka melihat maksiat dilakukan oleh orang lain. Memerhatikan aurat wanita yang bukan mahram dan juga melihat filem-filem lucah atau gambar-gambar seksi adalah maksiat yang dibuat oleh mata, dari mata akan turun ke hati dan hati akan hilang kemanisan beribadah kepada Allah S.W.T.

5. Ukuwah menjadi longgar.

Sifat orang mukmin adalah sentiasa baik sangka kepada saudaranya yang lain. Dia cinta dan kasih pada saudaranya semata-mata kerana Allah. Dia datang berziarah adalah semata-mata kerana Allah dan bukan diatas sebab-sebab ada kepentingan duniawi kerana harta atau kerana hubungan keluarga.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah S.A.W. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari Qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Orang mukmin akan mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Jika perasaan kasih sayang dan ukhwah menjadi longgar ini petanda imannya sedang lemah.

6. Ghairah kepada dunia.

Sebuk dengan dunia hingga membuang masa dengan kerja-kerja yang tak berfaedah.

Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.”

(Surah Al-A’laa: 16-17)

Apabila seseorang sibuk dengan hal-hal dunia seperti hiburan yang melalaikan , hanya memikirkan nak besarkan rumah, perabut yang mahal-mahal, kereta mewah, untuk mengaut keuntungan dan bekerja siang malam , jika kesemua ini menjejaskan berhubungannya dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, sebenarnya dia sedang ghairah dan mabuk dengan dunia.

Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”

(Surah At-Takaatsur ayat 6)

7. Berbangga dengan kemajuan duniawi.

Islam tidak menghalang kemajuan duniawi dengan bangunan yang mencakar langit, kemajuan sains dan teknologi. Tetapi Islam amat menitik beratkan nilai-nilai rohani dan jika nilai rohani dan akhlak yang mulia diabaikan dan lebih mengutamakan kemajuan duniawi maka ianya dilarang. Dibarat dan Jepun terlalu mengutamakan kemajuan tetapi mengabaikan nilai-nilai moral manusia akibatnya mereka menuju kepada kehancuran.

Qarun, kaum 'Ad, kaum Samud dan kaum Luth semua mereka maju dengan pembangunan material tetapi mereka engkar dengan perintah Allah yang bawa oleh para Rasul maka mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

(Surah at-Taubah ayat 24)

8. Lemah atau tidak bersedia dengan kerja-kerja amal Islam.

Jika timbul perasaan malas bekerja untuk amal Islam dan sanggup membiarkan kerosakkan masyarakat berlaku tanpa di jalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah maka ini adalah petanda futur sedang melanda seorang da'i atau seorang pekerja Islam. Kerja-kerja amal makruf nahi mungkar perlu dijalankan tanda kita menyahut seruan Allah S.W.T.

9. Menangguh-nangguhkan kerja.

Apa sahaja kerja yang membawa kebaikan dan amal soleh tidak boleh ditangguh-tangguhkan.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."

(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita tingkatkan iman kita kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan semua suruhanNya dan meninggalkan semua larangan-Nya. Jika salah satu sifat diatas wujud pada diri kita sebenarnya kita sedang futur atau lemah iman maka perlulah kita perbaiki segera. Peruntukkanlah masa kita untuk berjumpa orang-orang soleh untuk menimba ilmu pengetahuan dan tarbiyah. Perbanyakkanlah membaca al-Quran, berzikir dan solat tahajud supaya kita dapat perbaiki iman dan jiwa kita yang lemah menuju kepada kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya Muhammad S.A.W.

WAHAI WANITA.........

Sahabat yang dirahmati Allah,

Kecantikan dan kemanisan wanita solehah itu, tidak terletak pada kecantikan wajahnya atau pada kemanjaannya, tetapi ianya terletak pada akhlak dan budi pekertinya. Daya penarik wanita solehah itu, bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin, dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu, bukan dan tidak sama sekali tetapi daya tarikannya terletak pada iman dan takwanya kepada Allah S.W.T.

Wanita solehah tidak berbangga dengan kecantikan luaran, kerana satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman, tetapi yang di jaga dan pelihara adalah kecantikan dalaman , agar diri nya bersih dan sentiasa mendapat rahmat Ilahi. Wanita solehah tidak berbangga dengan ilmu duniawi yang dikuasainya, kerana ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan darinya. Wanita solehah tidak pula berdukacita atas kekurangan dirinya kerana ada lagi insan yang lebih malang darinya.

Wanita solehah sentiasa menjaga iman dan takwanya dan membuangkan segala sifat-sifat keji yang ada di dalam hatinya. Wanita solehah merasakan bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan di akhiratlah kehidupan yang kekal abadi. Wanita solehah sentiasa menghiasi dirinya dengan akhlak Islam, menutup aurat, berhati-hati di dalam percakapan dan pergaulannya supaya terhindar daripada kemurkaan Allah. Wanita solehah sentiasa menjaga lidahnya daripada mengumpat, memfitnah dan berkata dusta. Wanita solehah melakukan ketaatan kepada Allah dan bersedia menjadi isteri dan ibu solehah.

Di manakah kecantika wanita solehah sebenarnya? Terdapat lapan keistimewaan wanita solehah yang tidak dimiliki oleh wanita-wanita yang lain. Wanita solehah akan memiliki kecantikan yang sebenar.

Pertama : Menundukkan pandangan (ghadhdul bashar) nescaya hati dan jiwa akan semakin bening dan jernih.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya" (Surah an-Nur ayat 30-31)

Kedua : Sentiasa bersikap jujur, nescaya akan menjadi semakin manis.

Daripada Abdullah bin Masud r.a. katanya sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesungguhnya kejujuran mengantarkan kepada kebaikan, dan kebaikan mengantarkan kepada syurga. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku jujur hingga ia disebut shiddiq (orang yang senantiasa jujur). Sedang dusta mengantarkan kepada perilaku menyimpang (zalim) dari perilaku menyimpang mengantarkan kepada neraka. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku dusta hingga ia disebut pendusta besar."
( Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, yang artinya: “Hai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kepada dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang jujur”

(Surah At-Taubah ayat 119).

Dalam ayat lain, Allah S.W.T. berfirman, yang maksudnya: “Jikalau mereka jujur kepada Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka”

(Surah Muhammad ayat 21)

Ketiga : Rasa malu yang lahir daripada Iman.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

"Malu itu sebahagian dari iman"

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Sayyidina Ali bin Abi Thalib berkata : “Orang yang menjadikan sifat malu sebagai pakaiannya, nescaya orang-orang tidak akan melihat aib dan cela pada dirinya.”

Keempat : Sentiasa beristighfar yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang di lakukan.

Istighfar merupakan syiar para nabi dan rasul, tidak ada seorang Nabipun yang tidak beristighfar dan selalu mengajak umatnya untuk beristighfar.

Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa beristighfar atas dosa yang telah mereka perbuat sepertimana firman Allah S.W.T. dalam surah Al-`Araf ayat 23 maksudnya :" Keduanya berkata "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi".

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan" (Hadis Riwayat Al Hakim)

Kelima : Sentiasa menjaga kehormatan diri dan menutup aurat.

Perjalanan harian kehidupannya penuh dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Sentiasa menjaga kehormatan diri, menutup aurat, cukup berhati-hati di dalam percakapan, pergaulan dan tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. "
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Firman Allah S.W.T. maksudnya :"...Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka,

atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".

(Surah An-Nur ayat 31)

Keenam : Sentiasa bersifat tawaduk dan membina rasa ukhwah.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala maksudnya : "(Mereka) keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka..."

(Surah al-Fath ayat 29)

Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyuruh Nabi-Nya dengan firman-Nya yang bermaksud : "dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, yaitu orang-orang yang beriman."

(Surah Asy-Syu'ara ayat 215)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Maukah kamu aku tunjukkan akhlak yang paling mulia di dunia dan di akhirat? Memberi maaf orang yang menzalimimu, memberi orang yang menghalangimu dan menyambung silaturrahim orang yang memutuskanmu”

(Hadis Riwayat Baihaqi)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Maukah kamu aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?” Sahabat menjawab, “Tentu saja!” Rasulullah kemudian menjelaskan, “Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menyambungkan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketujuh : Mengelakkan fitnah untuk menjaga kesucian diri .

Dari Abu Malih Al- Hudzli : Kaum perempuan kota Himsh atau penduduk Syam menemui Aisyah. lalu Aisyah berkata " Kamu adalah kaum perempuan yang masuk ke kamar mandi. padahal, aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Siapa saja perempuan yang meletakkan pakaiannya bukan di rumah suaminya, Allah akan membuka aibnya"

( Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Hakim )

Abu Hurairah r.a pun menyebutkan, ketika turun ayat al- Mula'anah ( tentang suami-istri yang saling melaknat kerana tuduhan perbuatan serong ) Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Siapapun perempuan yang menemui suatu kaum yang bukan kerabatnya, ia akan tidak memperoleh apapun dari Allah S.W.T dan Dia tidak akan memasukkannya ke syurga "

Dari Aisyah ra berkata : “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki beberapa kelebihan. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita lain yang lebih baik daripada wanita kaum Anshar dalam hal keimanannya terhadap kitabullah dan apa-apa yang diturunkan-Nya. Ketika turun surat An-Nur, pada potongan ayat (yang artinya) : Dan hendaknya mereka memakai tudung sampai menutupi dada mereka. Maka saat itu pula para suami membacakan kepada anak-anak perempuan, saudara-saudara perempuan dan kerabat-kerabatnya setelah dibacakan, maka tidak ada satu wanita pun kecuali mereka memakai tudung (jilbab) lalu mereka melipatkannya di atas kepala mereka. Hal itu dilakukan kerana kepercayaan dan keimanan mereka terhadap apa yang telah diturunkan Allah dalam kitab-Nya. Kemudian tatkala mereka berada di belakang Nabi Shallallahu Alaihi wasallam , mereka terlihat sudah mengenakan jilbab. Seolah-olah di atas kepala mereka ada seekor burung ghirban.”

Hadis di atas menunjukkan contoh perempuan yang tidak menjaga diri daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah yang akan menjerumuskan pada fitnah yang lebih besar.

semoga semua para wanita senantiasa menjaga kesucian diri mereka dan elakkanlah segala bentuk fitnah yang mungkin boleh berlaku tanpa disedarinya.

Kelapan : Sentiasa berwuduk nescaya akan bercahaya wajahnya di hari akhirat.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Umatku akan tampil pada hari kiamat dengan wajah bersinar tangan serta kakinya berkilauan dari bekas-bekas wudhu."

Sahabat yang dimuliakan,

Wahai para wanita solehah yang budiman, jika kalian menghiasi diri kalian dengan lapan perkara di atas, kalian akan menjadi wanita solehah idaman lelaki soleh. Kalian telah meletakkan diri kalian ditempat yang mulai di sisi Allah S.W.T. Kalian bakal menjadi ketua bidadari di syurga yang lebih cantik daripada bidadari bermata jeli!

Sunday, 5 December 2010

MAAL HIJRAH ....

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai sahaja 1 Muharam ini bermakna umur kita telah meningkat dan semakin hampir menemui Allah s.w.t. Sebelum kita memperkatakan hijrah Nabi s.a.w maka kita perlulah berhijrah dalam ertikata sebenarnya iaitu ada perubahan di dalam mengejar cita-cita dan hasrat kita melihat perlaksanaan Islam dalam diri , keluarga dan masyarakat kita.

Persoalannya berapa ramai daripada kita yang benar-benar menghayati falsafah dan sejarah di sebalik peristiwa tersebut? Secara umumnya perayaan 1 Muharam ini merujuk kepada peristiwa agung sejarah hijrah (perpindahan) yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Tanpa penghayatan dan memahami konteks hijrah masa kini, akan membawa kegagalan kepada umat Islam sendiri.

Tarikh ini menjadi sebahagian daripada hari memperingati di dalam kalendar Islam kerana ia merupakan titik tolak kepada era pergerakan dakwah Islamiah yang disebarkan oleh Rasulullah s.a.w. ke seluruh pelosok dunia. Hasilnya sehingga ke hari ini Islam menjadi salah satu agama terbesar dunia dengan jumlah seramai lebih 1.3 bilion atau satu per lima daripada penduduk dunia.

Perjalanan yang menempuh pelbagai cabaran ini bukanlah semata-mata kerana takutkan ancaman dan asakan daripada kaum kafir Quraisy tetapi menjadi strategi Nabi Muhammad s.a.w. sendiri untuk melalukan keberkesanan dakwahnya dan juga menjadi sebahagian ujian bagi umat Islam. Ia tidak akan berjaya tanpa perancangan bijak, teliti dan penuh berhati-hati. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sifat pengorbanan untuk keluar dari tanah air sendiri semata-mata untuk penyebaran dakwah Islam.

Hijrah juga akan gagal sekiranya umat Islam tidak bersatu padu, sentiasa bertelagah, mencari kesalahan dan hanya tahu mengkritik sahaja. Maknanya perpecahan hanya mengundang kegagalan dalam apa jua matlamat yang hendak dicapai lebih-lebih lagi melibatkan soal perpaduan ummah.

Jelas betapa hebatnya hijrah tersebut yang bukan hanya berfokuskan semata-mata menyampaikan dakwah tetapi Nabi s.a.w. berjaya mendirikan daulah (negara) Islam Madinah yang lengkap melalui pakatan murni yang dimeterai dalam Perlembagaan Madinah. Ahli sejarah menganggap ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.

Daripada hanya sebuah agama kecil akhirnya berkembang menjadi agama terbesar dunia. Daripada kelompok minoriti yang lemah menjadi majoriti yang perkasa dalam pelbagai bidang. Daripada umat yang lemah dan dihina beranjak kepada umat terbilang yang penuh penciptaan ketamadunan. Daripada bangsa yang jahil dan zalim menjadi bangsa berilmu dan beradab. Itulah hasil perubahan yang tercetus hanya kerana hijrah.

Strategi dan pelan tindakan hijrah berkait rapat dengan bukti yang menunjukkan betapa lemahnya usaha manusia untuk menghancurkan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau – mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Surah Al-Anfaal:30)

Ayat tersebut antara lain menjadi kata perangsang kepada Nabi s.a.w. dan umat Islam agar tidak takut dengan ancaman orang kafir kerana Allah s.w.t. mengatasi segala perlakuan mereka. Namun begitu asas pertolongan Allah bukan diberikan dengan percuma, tanpa usaha dan ikhtiar yang bijak tetapi disertai dengan tahap keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t. yang cukup hebat.

Sahabat yang dimuliakan,

Hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Peristiwa hijrah itu menyingkap satu perjuangan yang pantang menyerah atau mengaku kalah di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah s.a.w. iaitu, di Makkah selama 13 tahun dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.

Ia bermakna Rasulullah s.a.w. berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa depan.

Hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah.

ereka juga menyedari tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah s.a.w., bagaimana baginda mengutamakan pembinaan masjid pertama di Madinah dikenali sebagai Masjid Quba. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin (sahabat Nabi s.a.w. yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah.

Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong-royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni dengan umat agama lain.

Hijrah baginda bukan untuk kerehatan, tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia menghayati roh hijrah ini untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam.

Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan slogan indah atau ucapan manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji Islam ke persada dunia.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah s.a.w. menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu yang saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan itu akhirnya dapat disatukan.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya kerana Islam adalah ad-Deen yang bersifat rahmat kepada sekalian alam.

Firman Allah yang bermaksud:"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbia, ayat 107)

Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita muhasabah diri kita samaada kita telah berubah daripada kejahilan kepada berilmu, dan sentiasa meningkatkan amal dan kerja-kerja jihad di jalan Allah s.w.t. Setiap tahun kita menyambut Maal Hijrah akan ada perubahan di atas usaha-usaha untuk mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup.