Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, 6 January 2011

SIFAT TAWAKAL

Sahabat yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah al-Thalaq ayat 3).

Untuk memahami lebih jelas lagi konsep tawakal ini pernah Rasulullah S.A.W. menjelaskan kepada seorang lelaki yang datang berjumpa dengan baginda.

"Telah datang kepada Rasulullah S.A.W. seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah S.A.W. "Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal?" Rasulullah S.A.W. menjawab, maksudnya : "Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal." (Hadis Riwayat al-Tarmizi)

Sifat putus asa hanya layak bagi orang kafir. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : "... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusof ayat 87).

Allah berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."(Surah al-Ra'd ayat 11).

Sahabat yang dimuliakan,

Terdapat satu kisah di zaman Nabi Sulaiman a.s. bagaimana seekor semut bertawakal kepada Allah S.W.T dan kita boleh belajar daripada daripada kisah ini.

Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebutir gandum.

Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam sebuah botol dengan di letakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup (diberi lubang sikit untuk udara masuk ke dalamnya).

Cukup tempuh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar sebutir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.

Nabi Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebutir gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.

Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan jadi padanya?

Pengajaran yang boleh di perolehi :

1. Semut lebih yakin kepada jaminan Allah (bertawakal kepada Allah) ketika di luar botol berbanding "jaminan" manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah ia mengambil langkah berjimat cermat, supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan dia masih mampu bertahan. Masih ada makanan yang boleh digunakan.

2. Kenapa kita yang berada di dunia ini yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T. tetapi masih ragu-ragu tentang jaminan rezeki dari Allah S.W.T.? Oleh itu yakinilah dengan sepenuh hati bahawa setiap anak yang lahir ke dunia, Allah s.w.t. telah menjamin rezeki untuknya, samaada ibu-bapanya merancang atau tidak merancang untuk anak tersebut.

Sahabat,

Seseorang yang mempunyai sifat putus asa hanya boleh di atasi apabila individu tersebut melawan unsur negatif dalam dirinya dengan azam yang kuat dan tawakal kepada Allah. Oleh itu terdapat beberapa langkah yang perlu di ambil perhatian serius untuk mengatasi sifat putus asa ianya adalah seperti berikut :

1.Tawakal dengan sepenuh hati

2. Yakin dengan janji Allah dan reda dengan segala ketentuan-Nya.

3.Semangat juang yang tinggi (strong will).

4.Jangan fikir kesusahan akan berpanjangan kerana ia akan menyuburkan sifat putus asa.

5. Ingatlah bahawa Allah mempunyai sifat-sifat yang harus iaitu harus melakukan apa saja. Oleh sebab itu, kita sebagai hamba tidak layak merasa putus asa atau apa jua ketetapan Allah untuk kita kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil dalam setiap perancangan-Nya.

6. Putus asa bukan jalan keluar daripada sebarang masaalah.

Akhir kata marilah sama-sama kita bertawakal kepada Allah S.W.T. tanpa ragu-ragu dan membuangkan segala sifat mazmumah terutama sifat putus asa .Kerana sesungguhnya orang yang beriman tidak akan mempersoalkan ketentuan Allah, ingatlah segala apa yang ditetapkan Allah ke atas diri kita adalah sesuatu yang baik dan ada hikmahnya dan Allah Maha Mengetahui sedangkan kita tidak mengetahuinya.

No comments:

Post a Comment